Jumaat, 4 November 2016

Rakyat terjun jambatan kerana pemerintah zalim


Biar saya ungkapkan secebis kisah sejarah membuka tulisan ini. Ia berlaku sejurus hari kedua Saidina Umar Abdul Aziz menyampaikan khutbah umumnya selepas dibai’ah dan diangkat sebagai khalifah umat Islam. Beliau kemudiannya pulang dalam keadaan menangis sehingga ditegur isterinya.
undur najib“Apakah yang menyebabkan Amirul Mukminin menangis begini?”
Lalu beliau menjawab; “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh ALLAH dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang dalam tawanan, para fuqara’ (orang-orang fakir) kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah s.a.w.”.
Pernah juga dirakam dalam sejarah bila mana Saidina Umar Abdul Aziz menyoal seorang pemimpin di bawahnya sebagaimana berikut; “Wahai gabenor, jika ditakdirkan kamu mendapati ada seorang rakyatmu bersalah kerana mencuri, apakah tindakanmu?”.
Lalu gabenor itu menjawab tegas. “Akanku jalankan hukum Tuhan, yakni akanku potong kedua tangannya jika sabit dan punyai saksi yang mencukupi”. Lalu Saidina Umar Abdul Aziz tenang memuji ketegasannya seraya menyambung; “Maka benarlah amanah yang terpikul di bahumu ini. Akan tetapi jika aku dapati rakyat dibawah pemerintahanmu itu mencuri disebabkan kemiskinan dan kesempitan hidupnya kerana kegagalan pemerintahan kamu, maka aku potong kedua belah tanganmu ini!”.
Ini adalah teladan pemimpin idaman jelata yang memilih mendahului perut rakyatnya berbanding dirinya. Lebih risaukan keadaan rakyat di bawah melebihi dirinya dan anak pinaknya sendiri. Lalu, bila mana kita mendapati ada kisah tragis seorang suami yang mempunyai seorang isteri dan dua orang anak telah bertindak nekad membunuh diri dengan terjun dari jambatan kedua Pulau Pinang baru-baru ini akibat tekanan hidup dan masalah ekonomi, maka kita terpanggil untuk menyoal – di dunia apakah yang kita diami sekarang ini?
Apakah perasaan pemimpin pemerintah saat ini – saat kalian menyuap makanan mewah ke mulut kalian walhal ada rakyat di bawah yang terpaksa berniaga kecil-kecilan untung sekupang-dua menampung sesuap nasi ke mulut anak isteri? Apakah perasaan hati kecil pemimpin yang memerintah berucap berpantun berdegar-degar mengungkap carta unjuran kekayaan negara yang langsung tidak boleh dinikmati oleh kita semua?
Malapetaka daripada tragedi ini boleh dijadikan sebuah tanda aras kedudukan sosio-ekonomi negara dan kayu ukur masalah ekonomi setiap seorang rakyat Malaysia serta segala isi rumah di dalamnya. Malah secara khususnya tertumpu kepada mereka yang kini sedang bergelut dengan masalah ekonomi dan sosial yang kronik akibat kezaliman dan kerakusan pemerintah. Kezaliman pemerintah bukan saja membawa maksud pemerintah yang secara fizikal memukul atau mencederakan batang tubuh dia yang bertindak nekad terjun dari jambatan tersebut.

Kezaliman pemerintah boleh saja berlaku akibat ketidakseimbangan pengagihan kekayaan dari hasil-mahsul perut negara. Kezaliman yang dilakukan pemerintah melangkaui perspektif kaca mata pemimpin pemerintah hari ini. Ia sebenarnya lebih daripada itu. Pengenalan GST dan kenaikan harga barang harian akibat kesan GST mengakibatkan kita tidak mempunyai lebihan atas tangan selepas menolak perbelanjaan gaji bulanan.
Bukan isu gaji kecil yang mendominasi masalah ekonomi sesebuah keluarga dan isi rumah sebenarnya. Kita kini terbeban dengan kenaikan harga tol, harga minyak dan kenaikan harga barang-barang keperluan harian atau yang merantai kesan GST tersebut serta merampas semua wang lebihan atas tangan dari setiap gaji bulanan. Namun, ini hanya satu contoh kezaliman daripada senarai panjang kezaliman yang lain.
Lalu jalan keluar adalah mencari pendapatan tambahan dengan apa saja kerja yang termampu dilakukan. Biarpun kadang-kadang sampai menyalahi undang-undang negara. Ternyata pilihan ini bukan selalunya tepat atau boleh memberi laba keuntungan sehingga boleh mengisi penuh wang kertas bertimbun di celah-celah kabinet di dalam rumah, namun dek kerana kedesakan hidup telah menuntut sesetengah daripada kita melakukannya jua.
Kematian yang sangat menyayat hati ini tidak mustahil boleh berlaku lagi di masa-masa hadapan dengan segala kemungkinan lebih buruk dari yang boleh kita bayangkan. Bahkan kejadian ini bukanlah isu terpencil yang boleh dipandang enteng. Ia refleksi soal politik kepemerintahan dan keupayaan pemerintah mengurus ekonomi negara secara adil, merata dan ehsan kepada setiap seorang rakyat di bawahnya.
Soal bagaimana lelaki tersebut menamatkan kehidupannya adalah persoalan agama – antara dia dan Tuhannya – yang tentunya bukan medan ini menjadi pentas perbahasan.
Apa yang sangat menyedihkan kita ialah apabila lelaki tersebut sempat menitipkan nota buat sekalian alam membacanya dan membiarkan kita sendiri membuat kesimpulan mengapa sehingga membunuh diri menjadi pilihan terdesaknya untuk keluar dari segala masalah yang sedang dihadapinya. Mengadili tindakannya adalah sesuatu yang sangat tidak adil untuk dia dan ahli keluarganya.
Namun tragedi ini sepatutnya menjadi wake-up call yang boleh mengejutkan pemerintah yang nyenyak tidur kekenyangan dan yang sedang berbahagia dibuai angin sejuk penghawa dingin di kantor-kantor besar milik kerajaan. Tidakkah kalian berasa malu dengan diri sendiri mengenangkan betapa terdesaknya tindakan lelaki ini?
Tidakkah timbul biarpun sekelumit perasaan ehsan di hati kalian melihat isteri dan anak-anaknya memikirkan tindakan nekad suami dan ayah mereka akibat kecuaian kalian mengurus harta negara? Penulis sendiri berasa terusik dan sayu hati memikirkan tragedi ini.
Sedar atau tidak, sebagai pemerintah, kalian kini adalah kerajaan yang terus-menerus menzalimi rakyatnya sehingga ada yang sanggup mencabut nyawanya sendiri sebagai jalan keluar dari masalah yang sepatutnya dipikul oleh pemerintah ataupun mereka yang galak menasihatinya. Jika tidak, menjawablah kalian di atas sana nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA