Khamis, 10 November 2016

‘RAKAN PERIBADI’ - MAMPUKAH NAJIB PENGARUHI TRUMP DALAM ISU PALESTIN?

Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru Donald Trump bukan asing buat Perdana Menteri.

Malah, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengatakan dirinya mengenali Trumph - ahli perniagaan - secara peribadi.
Kata Najib semalam, "Saya sendiri mengenali beliau secara peribadi dan beliau bukan asing bagi saya.”
  
Beliau menjawab soalan pemberita selepas menghadiri program Persidangan Daya eUsahawan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai mengulas soalan pemberita mengenai kemenangan Trump sebagai presiden AS yang baru.

Lupakan rakan sepermainan golf Najib - Barrack Obama di Hawaii - kerana kini Najib ada rakan baru di Rumah Putih yang baru. Lebih berpengaruh dengan Israel dan pelobi Yahudi di AS.
  
Semalam juga Perdana Menteri Israel,  Benjamin Netanyahu mengucapkan tahniah kepada Trump, dengan memanggilnya sebagai ‘rakan sejati Negara Israel’ ( "true friend of the State of Israel").
Netanyahu yakin mereka akan ‘meneruskan usaha memperkukuhkan pakatan yang unik antara kedua-dua negara dan membawanya ke peringkat lebih tinggi.”
Malah, Trump sudahpun menelefon Netanyahu agar bertemu beliau di AS untuk berunding. Begitulah rapatnya AS dan Israel.
  
Di sebalik kemenangan Trump, masyarakat Islam dunia menyatakan kebimbangan terhadap kenalan rapat Najib itu.
Laporan media termasuk Arab News menyebut, umat Islam di seluruh Asia bergelut menerima  kemenangan ahli politik yang membuat kenyataan retorik anti Islam  dalam kempennya menjadi presiden negara kuasa besar dunia itu.
  
Trump membuat kenyataan paling kontroversi mengenai Islam yang mencetus kemarahan di kalangan 1.5 bilion orang Islam  di dunia apabila dia menyeru kepada pengharaman ke atas orang Islam memasuki AS selepas insiden tembakan di California.
"Saya sangat takut, adakah akan ada lebih banyak peperangan? Adakah Amerika akan menyerang negara Muslim lagi?" demikian soal aktivis Indonesia,  Alijah Diete selepas Donald Trump memenangi pemilihan Presiden AS semalam.
Indonesia, negara yang mempunyai paling ramai penduduk Islam melahirkan kebimbangan tentang bagaimana hubungan dengan AS akan terbentuk dan bagaimana Trump akan memberi kesan antara AS dan dunia Islam.
Sesetengah pemerhati berharap retorik populis Trump hanya bertujuan meraih undi dan tidak akan diterjemahkan ke dalam dasar xenofobia jika dia memasuki Rumah Putih.
"Kami berharap kenyataan Trump terhadap umat Islam hanya untuk meningkatkan kempen, dan ia akan menyedari bahawa umat Islam adalah penduduk yang besar di Amerika Syarikat," kata Tahir Ashrafi, seorang ulama kanan kerajaan Pakistan.
Laporan Al Arabiya menyebut, kemenangan Trump turut dilihat sebagai  berakhirnya era negara Palestin.
  
Menteri Pendidikan Israel,  Naftali Bennet yang mengalu-alukan kemenangan Trump berharap pemimpin AS itu menghentikan rundingan penyelesaian dua negara, yang mengusulkan penubuhan negara Palestin merdeka disamping negara Israel.
“Kemenangan Trump beri peluang kepada Israel untuk menarik balik tanggapan sebuah negara Palestin di tengah-tengah negara kamii, yang akan menjejaskan keselamatan dan perjuangan kami,” kata Bennet anggota parti pelampau, Jewish Home.
 “Itulah pendirian bakal presiden (Trump)…era negara Palestin sudah berakhir,” tegasnya.
Sebagai rakan politik dan rakan sepermainan golf, Najib perlu melakukan sesuatu untuk menjadi juara pemimpin Islam bagi membolehkan rundingan ini dapat diteruskan.

Malaysia perlu mendahului negara lain - atas kapasiti sebagai kenalan peribadi dengan Trump - membawa Israel dan pemimpin Palestin bagi penyelesaian berkekalan isu berkenaan.
Tidak mungkin Najib tidak mampu mempengaruhi rakan yang dikenalinya  secara peribadi untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Palestin.
Najib perlu berani menghadai pemimpin Israel bagi tujuan ini dengan kedudukannya yang begitu berpengaruh di mata Trump.
Ini kerana tinjauan sebelum ini mendapati sebahagian besar rakyat Israel dan Palestin sudah menyokong penyelesaian 2 negara itu, yang mula diusulkan pada 1974.
Rundingan terbaharu 2013-2014 bagaimanapun kecundang apabila Israel meluaskan penempatan haram Israel di kawasan yang menjadi pertikaian antara rejim dan pihak berkuasa Palestin.

Hubungan rapat Najib dan Trump bukan sekadar melalui kenyataan Najib semalam tetapi hubungan rapat mereka berdua turut dilaporkan oleh media penyiaran Briish, BBC.
Memetik jurucakap pejabat perdana menteri melalui tweet wartawan BBC untuk Asia Tenggara Jonathan Head menyebut: “PM Malaysia Najib ialah kawan golf Trump dan ada gambar bertandatangan mereka berdua atas mejanya daripada Donald yang bertulis 'kepada PM kegemaranku'.
Dengan kedudukan itu, kita juga yakin Najib mampu mempengaruhi Trump agar ibu negara Israel kekal di Tel Aviv.
Ini kerana Trump sebelum ini berikrar akan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Malah, Menteri Kehakiman Ayelet Shaked dan Timbalan Menteri Luar yang menjadi anggota parti berhaluan kanan, Parti Likud pimpinan Nentanyahu, Tzipi Hotovely sudah meminta Trump supaya menunaikan janji memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Datuk Bandar Jerusalem Nir Barkat juga mendesak perkara serupa.
Status Baltulmaqdis adalah salah satu isu yang paling sukar dalam konflik Israel-Palestin.
Warga Palestin mahu timur Baitulmaqdis menjadi ibu negara Palestin baharu, manakala warga Israel berpendirian seluruh kota suci itu ibu negara mereka.
Sebelum ini, Trump telah berjanji untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Walaupun tiada sebarang maklum balas dari Netanyahu yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila dia menolak sebuah negara Palestin menjelang pilihan raya umum 2015 yang kemudian menarik balik dan telah menyatakan sokongan untuk penyelesaian dua negara, isu ini akan turut diperkatakan oleh lobi Isreal di AS.
Pemimpin Israel dan pelobi Yahudi di AS melihat Trump harapan mereka kerana kepimpinan Barrack Obama sebelum ini tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa usaha mereka bagi menubuhkan negara Israelk dan menjadikan Baitulmaqdis akan tergantung begitu sahaja.
Penganalisis hal ehwal Timur Tengah, Zvi Bar’el, menulis dalam akhbar Israel,  Haaretz, "Kongres akan terus dan akan bersama kita, Pentagon memerlukan kita dan kumpulan Yahudi Amerika Syarikat akan menjamin kebajikan kita".
Pandangan beliau diketengahkan oleh kumpulan lobi pro-Israel di Amerika Syarikat dikenali sebagai The Israeli Project, yang mengatakan pendirian ‘tradisonal’ Washington yang seiringan dengan Tel Aviv akan ‘berterusan’.
“Kami gembira dan menghargai sokongan tidak berbelah bahagi yang kami dapat,” tegas Lior Weintraub, najib presiden The Israel Project, yang juga bekas ketua staf di Kedutaan Israeli di  Washington, DC.
Trump yang disokong kuat lobi Yahudi memenangi pilihan raya presiden AS dengan memperolehi 279  undi menewaskan pencabarnya, Hilary Clinton dari parti Demokrat yang meraih 228 undi.
Dengan kemenangan itu, Trump - bekas ahli perniagaan bergelar jutawan dan personaliti program realiti televisyen -  muncul sebagai presiden AS ke-45 selepas Obama selain presiden paling berusia yang pernah dimiliki oleh AS.

Kejayaan pada 70 tahun dengan kempen bertemakan 'Jadikan Amerika Hebat Sekali Lagi' juga membolehkan Trump menafikan hasrat Clinton untuk menjadi presiden wanita pertama AS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA