Rabu, 16 November 2016

Rafizi: Tolong sedih pada anak orang miskin...

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menggesa penyokong untuk tidak mengesiani atau bersedih terhadap diri atau keluarganya, berikutan kemungkinan bahawa beliau akan dihumban ke penjara.
Katanya, meskipun dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan pada Isnin lalu, beliau gembira, dan yakin mampu tidur dengan lena di dalam penjara kerana telah melakukan tugasnya sebagai wakil rakyat dan tanggungjawap kepada Allah.
Sebaliknya, kata Rafizi kepada penyokongnya, mereka harus berasa sedih terhadap nasib keluarga miskin yang akan terus menderita di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Tolong jangan sedih pada saya dan juga anak dan isteri. Tolong sedih pada anak-anak orang miskin, anak orang kampung, anak orang Cina, Melayu, India, Iban, Kadazan yang bukan anak orang besar, kerana mereka tidak mempunyai suara seperti kami, boleh mendirikan keluarga dalam keadaan istimewa seperti kami.
“Siapa nak bela mereka, kalau tidak jatuhkan Najib dan Rosmah,” katanya pada siri ceramah ‘Projek Buang Najib’ di Kampung Cheras Baru, malam semalam.
Kira-kira 300 orang hadir dan ada yang terpaksa mendengar dan menonton dari skrin yang dipasang di luar kerana dewan ceramah penuh.
Mahkamah Sesyen mendapati Rafizi bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 pada Isnin lalu.
Pemimpin PKR itu didakwa membocor halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.

Beliau yang juga naib presiden dan setiausaha agung PKR, kini dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu selesainya proses rayuan.
Beliau memberitahu hadirin bahawa dengan tingkah laku baik, dirinya mungkin akan hanya meringkuk setahun di dalam penjara, iaitu kira-kira tempoh masa yang mencukupi untuk mendapatkan ijazah Sarjana.
Secara berseloroh, Rafizi berkata beliau mahu belajar undang-undang supaya dapat membela dirinya di mahkamah, dan peguamnya Gobind Singh Deo - yang bakal melawatnya di penjara - akan menjadi gurunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA