Isnin, 14 November 2016

Rafizi tekad terus semak setiap sen yang Najib belanjakan


Rafizi RamliRafizi Ramli
Walaupun dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi dua pertuduhan berkaitan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli tekad untuk terus membongkar kepincangan urus tadbir Perdana Menteri.
Dalam surat yang ditulisnya dari kandang tertuduh semasa penghakiman dibacakan hari ini, beliau memberitahu usaha berkenaan tidak akan pernah terhenti termasuk siri jelajah ke negeri sehingga akhir Januari depan.
“Keputusan pemenjaraan yang memang telah dijangka pada hari ini sedikit pun tidak akan mengubah apa-apa. Saya akan terus lantang seperti sebelum ini di dalam dan di luar parti.
“Saya akan teruskan dengan pembongkaran dan menyemak setiap satu sen yang dibelanjakan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selagi dalam kemampuan saya,” tegasnya dalam tulisan terdiri daripada 32 perenggan itu.
Rafizi yang juga Setiausaha Agung dan Naib Presiden PKR itu berkata, beliau bersama beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan akan mendedahkan kepincangan projek kereta api pantai timur (ECRL) yang mencecah kos RM55 bilion (AS$13.1 bilion) itu.
“Saya juga akan menjawab isu-isu berkenaan Tabung Haji dan membentangkan beberapa analisis baru kedudukan kewangannya. Selain Tabung Haji, fokus saya masih lagi kepada isu pendidikan tinggi dan kelangsungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kedudukan tabung pencen negara,” jelasnya.
Antara yang juga menjadi perhatian beliau, perbezaan imbuhan gaji yang terlalu ketara di antara kakitangan kerajaan berpangkat rendah dan tinggi serta desakan penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Mulai esok, saya akan mula turun berceramah bersama-sama pimpinan dan aktivis yang mahukan Datuk Seri Najib meletak jawatan. Ceramah pertama yang bertemakan #LawanTetapLawan akan bermula di Pandan iaitu di Dewan Kampung Cheras Baru.
“Hari Rabu, saya akan ke Pangkalan Tentera Laut (TLDM) Lumut untuk berjumpa dengan pesara-pesara tentera laut yang mula-mula sekali membawa ke pengetahuan saya kelewatan pembayaran pampasan persaraan,” ujar Rafizi lagi.
Tenang tanpa rasa marah
Mengulas keputusan penghakiman mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 itu, Rafizi mengakui usahanya dalam mengetengahkan kepincangan skandal 1MDB itu adalah tanggungjawab beliau sebagai pemimpin yang diamanahkan rakyat.
“Saya tenang tanpa rasa marah, takut atau pun sedih kerana saya yakin saya telah menjalankan amanah saya sebagai seorang rakyat biasa, seorang pemimpin parti pembangkang dan seorang wakil rakyat.

“Setiap kali saya berdepan dengan keputusan, saya tidak pernah menghadapi dilema untuk membuat keputusan kerana hukumnya kebajikan dan kesusahan rakyat mengatasi kepentingan peribadi kita sebagai ahli politik.
“Oleh itu, keputusan saya sebagai seorang wakil rakyat atau ahli politik kadang-kadang mengundang rasa marah atau rasa terancam di kalangan pemimpin lain baik dalam BN atau parti saya sendiri,” akuinya.
Rafizi yang juga merupakan bekas akauntan bertauliah dan meninggalkan Petronas pada 2009 itu menyifatkan apa sahaja perbuatannya dinilai oleh malaikat bukannya ahli-ahli politik.
“Ingatan kepada diri saya setiap pagi saya ke pejabat ialah setiap tindakan dan amal kita disukat setiap saat bukannya oleh ahli-ahli politik yang nampak berkuasa, tetapi oleh malaikat yang tidak akan lalai walau sezarah pun,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA