Rabu, 16 November 2016

Rafizi nasihat ketua Pemuda PKR Ampang isytihar harta

Rafizi berkata, lebih cepat Adam mengisytihar hartanya lebih baik, bagi mengelakkan membuang masa polis.
Adam-Rosly
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli hari ini menasihatkan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa supaya mengisytihar semua hartanya secepat mungkin.
Naib presiden PKR itu berkata, ia adalah perkara betul yang perlu dilakukan Adam bagi mengelakkan “pembaziran masa semua orang”.
“Kenapa kita mahu membazir masa polis apabila mereka perlu fokus terhadap lebih banyak isu penting?
“Isytihar harta anda ialah mekanisme pemeriksaan dan kawal selia diri. Saya rasa semua orang perlu lakukannya, lebih-lebih lagi (Datuk) Jamal (Yunos),” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Ditanya jika PKR akan mengarahkan Adam mengisytihar hartanya, ahli Parlimen Pandan itu berkata, parti itu tiada peraturan yang mewajibkan ahlinya berbuat demikian.
“Saya tidak rasa mana-mana parti ada peraturan mengarahkan ahlinya mengisytihar harta mereka. Pengisytiharan harta, khasnya ahli individu tiada dalam Perlembagaan.”
Semalam, Jamal yang merupakan ketua gerakan Baju Merah membawa beberapa wartawan menaiki helikopter untuk menunjukkan banglo milik Adam di Ampang dan mendakwa pemuda berusia 28 tahun itu memiliki pelbagai kereta mewah meskipun baru sepenggal memegang jawatan dalam PKR.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kemampuan Adam pada usia sebegitu muda dengan kelulusan hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memiliki kekayaan luar biasa.
Adam menjelaskan kediamannya di Ampang itu berharga RM1 juta, bukannya RM7 juta sebagaimana dituduh Jamal, dan ia adalah rumah terbengkalai yang dijual bank.
Beliau juga mencabar Jamal membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika tidak berpuas hati dengan rumah dimikinya itu.
Adam berkata, memiliki harta kekayaan dan gelaran “Datuk” pada usia yang muda bukanlah sesuatu yang ganjil pada masa sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA