Selasa, 29 November 2016

Rafizi gesa PM jawab isu balak di Pekan

SUNGAI BESI - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menjawab mengenai dakwaan berlakunya kerosakan hutan simpan di Pekan.
Rafizi mendakwa, beliau mendapat maklumat daripada seorang pemberi maklumat yang menyatakan hampir 4,839 hektar hutan simpan di Pekan telah diterokai.
Rafizi Ramli "Saya telah menyemak peta yang diambil daripada satelit yang telah diberikan oleh saya dengan peta yang diperoleh dari industri pembalakan melalui beberapa orang individu yang saya kenali dan ada asas yang kukuh bahawa peta-peta yang diberikan kepada saya adalah benar.
"Jadi Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan perlu memberi respons segera mengenai isu ini," katanya dalam sidang medianya di Invoke Malaysia,di sini hari ini.
Ujar Rafizi lagi, untuk itu beliau kini sedang menanti maklum balas peribadi daripada Najib bagi menjawab persoalan itu.
"Saya juga ada maklumat lanjut mengenai perkara yang sama di seluruh Pahang dan akan mendedahkan satu persatu bagi setiap daerah di Pahang sehinggalah ada maklum balas yang kukuh dan tindakan diambil untuk menghentikan pencerobohan ini," katanya.
Katanya lagi, beliau juga akan terus menyiasat untuk menentukan siapakah dalang sebenar di belakang kegiatan pencerobohan ini dan akan meneliti segala kemudahan pengurusan hutan sehingga menyebabkan berleluasanya aktiviti pencerobohan sebegini.
"Paling penting, inilah sebenarnya tugas seorang ahli  parlimen seperti saya dan Najib iaitu menjaga khazanah rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA