Rabu, 16 November 2016

Iklan Fitnah: Rafizi akui pernah terlibat 'parti buih bogel', tapi..

Nombor telefon Rafizi Ramli sekali lagi disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa sebagai penganjur parti seks bogel.
Anggota parlimen Pandan itu berkata, beliau mendapat tahu mengenai perkara itu selepas dihubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam petang tadi.
"Saya baru dihubungi oleh pegawai polis dari IPD Shah Alam yang ingin menyiasat satu sebaran iklan mengenai penganjuran parti seks bogel.
"Saya baru mendapat salinan iklan tersebut yang disertakan bersama," tulis Rafizi yang turut menyiarkan iklan berkenaan di Facebooknya.
Menurut Rafizi, ini bukan kali pertama nombor telefonnya disalahgunakan bagi menyebarkan maklumat palsu mengenai perkhidmatan seks atau pelacuran.
"Saya telah menjelaskan kepada pihak IPD Shah Alam.
"Saya memohon supaya mereka yang berhajat untuk menyertai parti sebegini, jika mereka membaca berita ini, berhenti menelefon atau menghantar (kiriman) WhatsApp kepada saya," jelasnya.
Secara berseloroh, Rafizi mengakui pernah terlibat dalam parti buih, tetapi hanya ketika memandikan anak kecil beliau.
"Satu-satunya parti buih bogel yang saya pernah terlibat ialah apabila saya memandikan anak kecil saya yang berumur 3 tahun," kata setiausaha agung PKR itu.
Aktivis BERSIH juga terkena

Sementara itu, portal Mstar pula melaporkan seorang aktivis BERSIH, Mandeep Singh mendapati beliau turut 'terlibat' menganjurkan parti buih bogel.
Mandeep berkata, nombor telefonnya adalah salah satu daripada lima nombor untuk dihubungi mereka yang berminat menyertai parti itu yang kononnya dianjurkan pada 1 Disember ini.
“Haiyo... lagi sekali ke? Ia berlaku setiap kali menjelang perhimpunan. Sebelum ini, ia berlaku semasa Bersih 4, Tangkap MO1 dan sekarang Bersih 5,” katanya.
“Sebelum ini mengenai perkhidmatan seks dan ia melibatkan khidmat ‘call girl’, sekarang parti buih pula. Ia merupakan gangguan tetapi kita hanya perlu terus senyum dan kuat,” kata Mandeep.
Disember tahun lalu, Mandeep turut menjadi mangsa iklan palsu seks apabila nombor telefonnya disebarkan di internet, kononnya menawarkan khidmat pelacuran.
Selain beliau, pengerusi dan bekas pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dan Datuk S Ambiga turut menjadi mangsa iklan palsu berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA