Ahad, 27 November 2016

Putrajaya nafi beri Zakir Naik taraf kewarganegaraan

Timbalan menteri dalam negeri memberitahu, proses yang panjang perlu dilalui sebelum seseorang menjadi warga Malaysia.
Nur-Jazlan_zakir-naik_putrajaya_600
PETALING JAYA: Putrajaya menafikan laporan pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik diberikan kerakyatan Malaysia dan bersembunyi di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, menjadi warganegara memerlukan proses yang panjang dan sebarang laporan mengatakan pendakwah itu sudah menjadi warganegara adalah dakwaan semata-mata.
“Terdapat banyak proses perlu dilalui dan ia mengambil masa puluhan tahun untuk menjadi warganegara,” kata ahli Parlimen Pulai itu memberitahu FMT ketika diminta mengulas mengenai artikel dikeluarkan Hindustan Times.
Awal hari ini, akhbar harian India melaporkan Zakir, yang juga pengasas Islam Research Foundation (IRF) diharamkan di India, kini di bawah siasatan polis dan Agensi Siasatan Negara (NIS).
Laporan Hindustan Times berkata, pihak berkuasa sebelum ini menyangka beliau bersembunyi di Afrika atau Thailand dan kini dipercayai berada di Malaysia.
Ia memetik “individu mewakili Zakir semasa ketiadaannya di Mumbai” mengesahkan kerakyatan Malaysia beliau.
Mereka mendakwa ia adalah satu daripada pakej kepadanya bersamaan penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah yang diberikan kepadanya pada 2013.
“Adalah menjadi dasar kerajaan Malaysia menawarkan kewarganegaraan kepada penerima anugerah kehormat awam tertinggi negara mereka. Sekarang Naik adalah warganegara Malaysia juga,” Hindustan Times memetik kata seorang wakil Zakir.

Laporan itu berkata, ketika siasatan dilakukan ke atas Zakir, memiliki 2 kerakyatan nampaknya memberi manfaat kepadanya.
Zakir tidak asing di kalangan penduduk negara ini yang datang pada April untuk memberi satu siri ceramah mengenai Islam sehingga menimbulkan kemarahan beberapa pihak.
Kumpulan bukan Islam khususnya menggesa beliau dihalang daripada bercakap di Malaysia kerana sering menghina agama lain dan boleh menyebabkan bahaya kepada keharmonian pelbagai agama di Malaysia.
Pada Oktober, televangelis kelahiran Mumbai kembali ke Malaysia di mana beliau menghadiri persidangan tahunan Al-Khadem di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA