Rabu, 30 November 2016

Puteri Umno: Ambil tindakan ‘pengkhianat’ bekerja dengan Soros

Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada insiden Arab Spring.
mas-soros-1
KUALA LUMPUR: Puteri Umno mendesak pendirian lebih tegas terhadap campur tangan asing, dengan memetik insiden kebangkitan Arab Spring sebagai pengajaran yang perlu diambil.
Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam ucapan pembukaannya di Perhimpunan Agung Umno 2016 hari ini berkata “penjahat” antarabangsa seperti jutawan George Soros tidak boleh dibenarkan mempengaruhi laluan negara.
“Mari kita lihat insiden Arab Spring di Timur Tengah dan Revolusi Oren di Ukraine.
“Sehingga hari ini, revolusi seumpama itu menyebabkan ketidakstabilan politik dalam negara terbabit serta sektor ekonomi.
“Jadi isu membabitkan kedaulatan negara tidak boleh diterima dan kami mengutuk sebarang bentuk campur tangan asing,” katanya di hadapan perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
Arab Spring ialah gelombang revolusi membabitkan demonstrasi keganasan dan bantahan bermula di Tunisia pada 2010, sebelum ia berkembang ke negara Arab dan sekitarnya.
Pergelutan kuasa di negara terbabit berterusan hingga kini selepas insiden pada 2012 itu.
Mendakwa Soros ialah musuh terbesar negara, Mas Ermieyati berkata sesiapa yang bekerja dengannya untuk menjatuhkan negara patut dianggap sebagai pengkhianat.
“Biarpun mungkin suatu masa dahulu, individu itu mempunyai jasa kepada negara,” katanya tanpa menamakan sesiapa.

Bulan lalu, dokumen kononnya daripada minit mesyuarat bertarikh 22 Jun mengenai Program Malaysia Open Society Foundations (OSF) yang ada kaitan dengan Soros, yang membabitkan perbincangan mengenai penganjuran pilihan raya bebas dan adil, dibocorkan oleh DCLeaks.
Ia menyebabkan beberapa tuduhan terhadap campur tangan asing menyasarkan untuk menggulingkan kerajaan.
Beberapa laporan polis dibuat terhadap Bersih, Merdeka Center dan Malaysiakini yang dinamakan sebagai penerima geran OSF.
Polis menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA