Rabu, 16 November 2016

Punca sebenar di sebalik kejutan Trump menang

Paling berupaya menghancurkan peluang Trump menang ialah rakaman percakapannya dia boleh sahaja memegang wanita di bahagian kemaluan. Tetapi lain pula yang berlaku.
trump
Saya sudah memantau media sosial sejak lebih sedekad, lama sebelum Facebook.
Facebook mengubah budaya media sosial dengan kemudahan “tagging”. Apabila kita “tag” seseorang atau kita memberikan komen dalam sesuatu perbincangan, Facebook memaklumkan kita sekiranya ada respons lain. Lalu perbincangan menjadi semakin rancak.
Pilihan raya presiden Amerika Syarikat minggu lalu mungkin pengundian paling beremosi yang pernah saya pantau.
Dari mula lagi, beratus-ratus orang dalam senarai Facebook saya menunjukkan emosi negatif apabila Donald Trump mendahului Hillary Clinton. Semua orang dalam senarai menyokong Hillary. Mereka menganggap diri mereka sebagai liberal dan progresif. Tetapi mereka semakin putus harapan sehinggalah beberapa jam kemudian apabila Trump menang.
Pencalonan Trump untuk presiden mengejutkan ramai pemerhati politik negara itu. Perlu diingat, Trump pernah menjadi calon sebelum ini untuk Reform Party kira-kira 15 tahun lalu. Anehnya, pada zaman itu, Trump menyerang calon yang konservatif seperti Pat Buchanan sebagai “nazi” dan menyerlahkan dirinya sebagai calon liberal.
Tahun lepas, Trump yang sebelum ini penyokong Democrat, menyertai parti Republican, satu perubahan amat ketara walaupun secara dasar luaran mereka sama sahaja, terutamanya di Timur Tengah di mana mereka agresif mempertahankan Israel dan mengebom negara Islam yang bukan pengeluar minyak.
Sepanjang pencalonan Trump, dia mengeluarkan kenyataan kontroversi. Dia mahu membina tembok tinggi sepanjang sempadan AS-Mexico, sebagai contoh. Dia juga mahu mengusir pendatang dari negara itu yang berada di AS tanpa izin.
Tidak ketinggalan daripada kontroversi adalah yang berkait penduduk Islam. Setelah berlaku serangan IS, Trump mencadangkan mengharamkan umat Islam melawat AS dan mempertimbangkan pengusiran rakyat AS beragama Islam.

Kontroversi sudah menggelapkan peluang Trump untuk menang (dalam jangkaan kami). Dan paling berupaya menghancurkan peluangnya ialah kontroversi rakaman Trump mengatakan jika seorang lelaki itu cukup kaya dan berkuasa, dia boleh sahaja memegang wanita di bahagian kemaluannya! Kenyataan ini dianggap pukulan maut terhadap kempen Trump.
Tetapi lain pula yang berlaku. Pada malam pengundian, semua kontroversi ini nampaknya tidak menyentuh kempen Trump langsung.
Sebaliknya, Hillary ketinggalan di sepanjang pengiraan “kolej pengundian”.
Hillary diserlahkan media utama Amerika sebagai calon yang progresif dan liberal, yang bakal menjadi presiden wanita yang pertama. Pemerhati politik AS menjangkakan dia menang besar tetapi yang berlaku sebaliknya?
Bagaimanakah ini terjadi?
Ada beberapa teori yang menjelaskannya. Satu daripadanya ialah perubahan negeri-negeri “Rust Belt” (iaitu bahagian timur utara AS seperti Illinois, Indiana, Michigan, Ohio, dan Pennsylvania) kepada Republican.
Negeri ini marah kepada Washington yang dipimpin parti Democrat yang memeterai perjanjian dengan negara asing untuk mengimpot barangan mereka. Dengan ini, ekonomi negeri itu terancam dan perasaan marah mereka mungkin mengubah haluan politik mereka. Ini adalah teori yang amat kuat, pada pendapat saya.
Satu lagi teori kuat ialah “Whitelash” iaitu rakyat berkulit putih marah kerana bangsa mereka dibelakangkan bangsa asing seperti Amerika Latin, rakyat kulit hitam, orang Asia termasuk umat Islam.
Perasaan tidak puas hati kulit putih bukan sahaja pada peringkat bawah tangga ekonomi, tetapi pada peringkat pertengahan dan atasan juga.
Ini mungkin kejutan kepada ramai pemerhati politik AS tetapi itulah hakikatnya – boleh dikatakan kejayaan Trump adalah respons penduduk kulit putih terhadap “penindasan” (dalam persepsi mereka) terhadap mereka.
Tidak ketinggalan juga teori yang mengatakan pencalonan Hillary adalah sebab mengapa Trump menang. Mungkin kerana dia adalah calon wanita dan ramai pengundi lelaki kulit putih yang bersifat seksis tidak mahu wanita memimpin mereka setelah dipimpin orang berkulit hitam seperti Barack Obama selama 8 tahun. Namun begitu, ini kemungkinan yang tidak begitu ketara.
Apa yang lebih ketara ialah sejarah Hillary yang tidak begitu bersih, di sebalik tuduhan menyalahgunakan posisinya sebagai orang kenamaan terutama semasa menjadi wanita pertama ketika suaminya Bill Clinton menjadi presiden kira-kira 20 tahun dulu.
Pemerhati politik juga bertanya tentang beberapa kematian bersabit dengan insiden ini. Jadi Hillary bukanlah calon yang mempunyai imej yang bersih.
Begitu juga dari segi dasar. Hillary penyokong kuat Israel di Timur Tengah dan tiada masalah dengan “collateral damage” (iaitu kos nyawa manusia dalam perang) kerana yang mati hanyalah orang Timur Tengah.
Di sebaliknya pula, pihak yang Islamofobik yang membenci Islam pula mengatakan dia terlalu lembut terhadap keganasan melibatkan kumpulan Islam. Di sinilah ironinya.
Di sepanjang kempen, saya tidak menjangkakan Trump calon yang serius. Pada saya, dia bersekongkol dengan Hillary untuk merosakkan parti Republican dengan meraih undi kulit putih konservatif kelas bawahan (working class). Tetapi mereka mempercayai retoriknya dan menyokongnya sampai Hillary kalah!
Kini, Amerika berdepan zaman politik yang gelap. Trump sendiri bukanlah konservatif. Belum seminggu dia menjadi presiden, sudah “flip-flop” tetapi siapa yang tahu? Hanya masa yang akan menentukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA