Khamis, 3 November 2016

Projek internet sekolah gagal, kata kesatuan guru

Tidak ada guna projek 1BestariNet diwujudkan sekiranya guru tidak boleh menikmatinya sehingga terpaksa menggunakan perkhidmatan internet daripada syarikat swasta lain.
kamarrozzaman
PETALING JAYA: Projek 1BestariNet bernilai RM4 bilion gagal membantu guru menggunakan kemudahan internet bagi tujuan pengajaran, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak berkata, hanya sebilangan pelajar boleh menggunakan kemudahan internet malah guru terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk mendapatkan kemudahan internet untuk mengajar.
“Kalau 10 pelajar, hanya 5 pelajar sahaja boleh guna,” katanya kepada FMT mengenai masalah 1BestariNet, projek untuk menghubungkan lebih 10,000 sekolah kerajaan dengan kos RM4.1 bilion.
Ia diperkenalkan bekas menteri pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd.
Kamarozaman berkata gangguan kemudahan internet di bawah projek itu menjejaskan proses pembelajaran.
“Kadang-kadang guru terpaksa beli sendiri broadband dan bayar sendiri, malah sekolah guna Unifi dan sekolah bayar sendiri,” katanya merujuk perkhidmatan jalur lebar dibekalkan Telekom Malaysia.
“Ia merupakan satu pembaziran apabila 1BestariNet ada, tapi guru tak boleh guna.”
Jabatan Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini membentangkan laporan berhubung 1BestariNet yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3 dan dibentangkan di Parlimen pada 10 November 2014.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin meminta Jabatan Audit Negara melaksanakan kajian keberkesanan projek 1BestariNet dan meneliti semua dokumen perjanjian kontrak bagi memastikan kepentingan kerajaan dilindungi.
Kamarozaman pada masa sama tidak menolak kemungkinan kegagalan projek 1BestariNet berpunca daripada perjanjian antara pihak syarikat dengan pihak kementerian sehingga menghalang pihak sekolah mendapatkan perkhidmatan internet daripada syarikat swasta lain.
“Saya tidak tahu apa punca, projek 1BestariNet tersekat bila ada kontrak perjanjian, dan saya rasa ada kemungkinan dengan perjanjian itu, sekolah tidak boleh guna Unifi dan perkhidmatan lain.
“Sepatutnya sekolah dibenarkan membuat pilihan dan PIBG boleh tanggung kos pembayaran.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA