Khamis, 17 November 2016

Prof: Terlalu awal untuk isytihar TPPA telah berakhir

Walaupun prospeknya suram bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), namun Presiden Persatuan Malaysia Untuk Pengajian Amerika Prof Dr K S Nathan berkata ia masih terlalu awal untuk mengisytiharkan perjanjian itu telah berakhir.
Katanya, ini walaupun presiden dipilih Amerika, Donald Trump telah berikrar dalam kempennya untuk menarik Amerika keluar daripada perjanjian itu.
"Mengenai TPPA, kita tidak boleh membuat kesimpulan lagi bahawa Presiden Trump akan memansuhkannya. Mungkin masih ada ruang untuk merundingkan semula beberapa aspek yang Trump percaya bertentangan dengan kepentingan Amerika.
"Ini kerana TPPA adalah satu rangka kerja perdagangan antarabangsa dengan banyak kepentingan yang terlibat, bukan hanya Malaysia dan Amerika, tetapi juga Amerika, Malaysia, dan rakan-rakan Asean," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia di Gombak semalam.
Menurutnya, TPPA adalah satu pengimbangan yang baik terhadap peningkatan pengaruh China, yang membawa rancangan dan rangka kerjanyaya sendiri untuk melonjakkan kepentingan China.
Tanpa mengimbanginya ekonomi ini, profesor hubungan antarabangsa itu berkata, situasi tersebut tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana negara dan boleh menjejaskan kestabilan rantau ini.

Semasa kempen pilihan raya jawatan presiden Amerika , kedua-dua Trump dan lawan utamanya Hillary Clinton telah berikrar untuk memansuhkan TPPA - kedua-dua melihatnya sebagai memudaratkan ekonomi AS, terutamanya dari segi pengurangan peluang pekerjaan di negara itu.
Selepas kemenangan Trump, penyandang Presiden Barack Obama telah menggantung usaha untuk TPPA mendapatkan kelulusan kongres.
TPPA melibatkan 12 negara, di mana Amerika merupakan ekonomi terbesar. Negara-negara yang menandatangani perjanjian itu pada bulan Februari ialah Malaysia, Singapura, Brunei, Vietnam, Australia, New Zealand, Chile, Peru, Jepun, Mexico dan Kanada.
Terdapat tempoh pengesahan dua tahun selepas perjanjian itu ditandatangani. Bagaimanapun, negara-negara berkenaan, boleh secara unilateral, menarik diri daripada perjanjian itu tanpa penalti selepas memberi notis enam bulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA