Isnin, 7 November 2016

PPBM yakin keputusan Hadi kemudi pembangkang belum muktamad

Kamarudin berkata, jika keputusan itu muktamad, Hadi tidak akan membuka sebarang pintu perbincangan dengan parti lain.
Datuk-Kamarudin-Md-Nor-hadi
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yakin keputusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu PAS menjadi pengemudi utama untuk bekerjasama dengan parti lain, belum muktamad.
Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, jika keputusan itu muktamad, presiden PAS tidak akan membuka sebarang pintu perbincangan dengan parti lain.
“Semuanya belum muktamad. Pokoknya, kalau ada kesediaan dia (Hadi) untuk berjumpa dan berbincang itu menandakan semuanya boleh dibawa berunding.
“Kalau tiada kesediaan, itu ertinya sudah tidak boleh dirunding lagi. Kita pastikan kita duduk bincang dan tengok apa hasilnya,” katanya kepada FMT hari ini.
Semalam, Hadi berkata, PAS hanya akan bekerjasama dengan parti yang sealiran dengan matlamat perjuangannya untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia dan ia tidak mempunyai masalah bergerak sendiri tanpa sokongan parti pembangkang lain.
Kamarudin berkata, PPBM turut mengambil sikap dan pendekatan sama dengan PAS, iaitu terbuka kepada rundingan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Kita mempunyai sikap terbuka untuk berunding, berbincang dan berjumpa. Apa yang kita perlukan sekarang ini adalah persepakatan,” katanya.
PAS kini bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan dalam suatu bentuk kerjasama dengan PKR.
Parti Islam itu sebelum ini mendakwa DAP memungkiri perjanjian kerjasama antara kedua-dua parti ketika berada dalam Pakatan Rakyat.
DAP kini menyertai PKR dan Amanah yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS dalam Pakatan Harapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA