Sabtu, 12 November 2016

PPBM sindir, hanya Malaysia selamat buat Jho Low

Datuk Kamarudin Md Nor berkata pada masa ini hanya Malaysia yang masih melindungi Low atau popular dengan nama Jho Low itu dengan tiada siasatan atau tindakan diambil terhadapnya.
Datuk-Kamarudin-Md-Nor--jho
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa hanya Malaysia tempat selamat untuk ahli perniagaan, Low Taek Jho ketika siasatan terhadapnya dijalankan di peringkat antarabangsa berhubung kes pengubahan wang haram berkait dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua penerangannya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata pada masa ini hanya Malaysia yang masih melindungi Low atau popular dengan nama Jho Low itu dan tiada siasatan atau tindakan diambil terhadapnya.
“Satu negara lagi mencari Jho Low, semakin lama semakin berkurang negara yang selamat buat dia dan apa yang saya perhatikan, Malaysia tempat paling selamat.
“Kita nak beritahu Jho Low, baliklah, pulang ke negara. Dia sudah tidak selamat lagi di luar negara sebab ramai pihak cari dia sekarang ini,” katanya kepada FMT.
Unit jenayah kolar putih Singapura yang pertama sekali mengenal pasti Jho Low sebagai individu penting yang terbabit dalam siasatan pengubahan wang haram di republik itu.
Pendedahan berkenaan dibuat seorang penyiasat dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram berprofil tinggi membabitkan seorang bekas pengurus bank swasta Switzerland, BSI di Singapura.
Kamarudin berkata beliau juga hairan dengan sikap dan pendekatan kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini dan dengan sinis menyifatkannya sebagai perkara “hairan bin ajaib”.

“Ini duit dari negara kita, tetapi kita pula tiada siasatan. Ini hairan bin ajaib, satu dunia kata ‘penyangak’ ini songlap duit negara dan rakyat Malaysia, tetapi kerajaan pula kata tidak ada.
“Ini keadaan yang sangat pelik apabila Singapura, Amerika Syarikat, Switzerland membuat siasatan terhadap 1MDB,” katanya.
Pihak berkuasa Singapura membekukan aset Low, tetapi pemuda berusia 34 tahun itu tidak berdepan sebarang pertuduhan dalam siasatan ke atas 1MDB.
1MDB yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turut mempengerusikan lembaga penasihat syarikat itu, kini terbabit dalam siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.
Najib yang menafikan sebarang salah laku berjanji Malaysia akan bekerjasama dalam mana-mana siasatan antarabangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA