Rabu, 23 November 2016

PPBM, Amanah rugi besar jika Perkasa sertai PRU14, kata pemerhati politik

Pemerhati politik yakin Perkasa mendapat manfaat daripada pengundi luar bandar yang tidak berpuas hati dengan Umno tetapi sangsi terhadap PPBM dan Amanah kerana mempunyai kaitan dengan DAP.
penganalisis-politik-Mustafa-Ishak.PETALING JAYA: Cadangan Perkasa meletakkan 50 calon bebas di kerusi Parlimen majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya akan menjejaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Amanah, kata penganalisis politik.
Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak, ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa dari Majlis Profesor Negara memberitahu FMT ini disebabkan kedua-duanya mempunyai kaitan dengan DAP.
Pada 20 November, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mengumumkan rancangannya itu dan dikritik Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri berkata, rancangan itu bertujuan memberi manfaat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan parti pemerintah Barisan Nasional (BN).
Mustafa berkata pengundi Melayu luar bandar yang tidak berpuas hati dengan Umno mungkin tidak selesa dengan kaitan PPBM dan Amanah dengan DAP, oleh itu mereka boleh mengundi Perkasa atau PAS, jika parti Islam itu tidak membuat sebarang pakatan politik dengan Pakatan Harapan.
“Sementara itu, Umno tidak terjejas kerana penyokong mereka akan terus mengundi.”
Beliau berkata DAP akan meraih manfaat terbaik daripada hubungan dengan PPBM dan Amanah.
“Di kawasan bandar, di mana DAP adalah kuat, PPBM dan Amanah akan menggesa Melayu bandar mengundi DAP dan terdapat banyak kawasan campuran di mana Melayu membentuk sejumlah besar pengundi.”
“Di kawasan Melayu luar bandar bagaimanapun, bilangan orang Cina adalah minimum. Jadi sementara penyokong DAP mengundi PPBM dan Amanah, Melayu anti-Umno yang tidak percaya DAP, sebaliknya boleh memilih Perkasa,” katanya menyokong laporan sebelum ini Perkasa akan meletakkan calon “spoiler” pada PRU14.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Pawi berkata sejarah menunjukkan Ibrahim sanggup berbuat apa sahaja apabila ia melibatkan politik, menegaskan yang bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu pernah bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Umno, Semangat 46 dan PAS.
“Jadi, saya tidak terkejut dengan rancangan beliau meletakkan 50 calon bebas itu.”

Beliau berkata, walaupun Perkasa tidak mempunyai pengaruh sebagaimana dahulu dan akan mendapati kesukaran menang 10% kerusi calon bebas yang dipertandingkan, membariskan 50 calon merupakan batu penghalang kepada pembangkang.
“Perkasa tidak akan memperoleh banyak sokongan di kalangan generasi muda, yang kurang cenderung bertanding berasakan parti, tetapi mereka pasti akan memecahkan undi terutama di kalangan generasi lebih tua. ”
Bagaimanapun katanya, tindakan meletakkan 50 calon bebas mempunyai risiko terhadap Perkasa, kerana kekalahan besar dalam PRU14 akan menyaksikan kumpulan hak Melayu itu dianggap tidak lagi relevan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA