Isnin, 14 November 2016

'Polis perlu tubuhkan panel pemerhati BERSIH 5'

Pihak berkuasa digesa mempermudahkan perhimpunan BERSIH 5 pada Sabtu ini dengan menubuhkan panel pemerhati untuk memastikan amalan polis yang baik.
"Saya ingin mencadangkan sesuatu yang baru - polis tubuhkan panel pemerhati untuk memantau perhimpunan itu dan mengesahkan amalan baik dan pelakuan polis," ujar bekas pesuruhjaya Suhakam James Nayagam dalam kenyataan, hari ini.
"Adalah diharapkan agar pihak penganjur dan polis akan bekerjasama untuk memastikan perhimpunan itu tenteram dan berakhir dengan aman," tambahnya.
Pihak polis, katanya, perlu membenarkan para peserta untuk berhimpun tanpa sebarang ancaman atau halangan seperti yang dilakukan dalam BERSIH 4.
Selain daripada pengurusan lalu lintas, jelas Nayagam, polis perlu menyediakan keselamatan dan perlindungan kepada para peserta.
Tambahnya, para peserta BERSIH juga perlu bekerjasama dengan polis untuk memastikan perhimpunan itu aman.
"Kekalkan keamanan dan berkelakuan baik, kerjasama dengan polis bagi memantau sempadan.
"Jangan bertindak sesuka-hati," katanya sambil mengingatkan para peserta BERSIH agar tidak merosakkan harta benda.
"Saya telah memantau kira-kira 50 perhimpunan di masa lalu dan berharap semua akan menjurus kepada keharmonian dan keamanan masyarakat," jelas beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA