Selasa, 1 November 2016

Polis mahu ambil keterangan saya, kata Muhyiddin

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, tarikhnya belum ditetapkan.
muhyiddin
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan beliau dipanggil polis untuk merakamkan keterangan kerana didakwa mendedahkan rahsia kerajaan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, polis menghubungi beliau minggu lalu untuk mengambil keterangannya berhubung dakwaan melanggar sumpah kerahsiaan kerajaan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, polis bersetuju menangguhkan tarikh bagi mengambil keterangannya, selepas beberapa perbincangan.
“Mungkin minggu depan, saya tidak tahu. Tetapi ya, mereka (polis) minta saya pergi ke Bukit Aman,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Selain Muhyiddin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sedang disiasat polis atas dakwaan membocorkan rahsia kerajaan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Siasatan itu dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB susulan laporan polis dibuat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan.
Polis yang sepatutnya mengambil keterangan Husni semalam, bagaimanapun menangguhkannya ke minggu depan tanpa memberi tarikh tertentu.
Semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Akta Rahsia Rasmi (OSA) masih mengikat individu yang pernah menjadi anggota pentadbiran kerajaan, walaupun ahli Parlimen mempunyai kekebalan di dalam Dewan Rakyat.

Timbalan perdana menteri berkata, perkara itu disebut dalam rahsia kerajaan dan harus diakui serta menjadi ingatan kepada semua.
Bagaimanapun, peguam, Syahredzan Johan berkata, tindakan 3 bekas menteri membangkitkan isu 1MDB di Dewan Rakyat tidak melanggar sumpah kerahsiaan kerajaan kerana mereka sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, sumpah kerahsiaan tidak boleh digunakan untuk menyembunyikan salah laku kerana ia bukannya undang-undang jenayah, sebaliknya hanya peraturan atau etika dalam kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA