Selasa, 8 November 2016

Polis jangan jadi alat sekat kebebasan Ahli Parlimen kritik skandal 1MDB


KUALA LUMPUR, 8 NOV: Polis diminta tidak menjadi sekutu dalam serangan sesetengah pihak yang cuba menyekat kebebasan bersuara wakil rakyat di sidang Parlimen.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata ahli Parlimen mempunyai hak dan kekebalan untuk menyuarakan pendapat dan rasa tidak puas hati di dalam dewan, selaras dengan Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan.
kit siangSehubungan itu, beliau mempersoal sama ada tindakan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin sebelum ini yang meminta Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menyiasat ucapan bekas-bekas menteri berhubung 1MDB di dalam dewan, sebagai menggugat demokrasi berparlimen.
“Dalam sejarah, sudah 43 tahun saya menjadi ahli Parlimen tetapi ini merupakan serangan paling serius ke atas kebebasan dan kekebalan Parlimen.
“Serangan ke atas Parlimen merupakan serangan ke atas doktrin pengasingan kuasa. Serangan ke atas doktrin pengasingan kuasa bermakna serangan ke atas demokrasi berparlimen.
“Oleh itu, saya ingin tanya sama ada Speaker boleh disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana cuba menggugat demokrasi berparlimen yang ada,” katanya dalam ucapan di mesyuarat khas berkaitan hak dan kekebalan Ahli Parlimen, hari ini.
Ia susulan tindakan polis menyoal siasat bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada minggu lalu selepas membangkitkan persoalan berkenaan skandal 1MDB di Dewan Rakyat.
Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut akan disoal siasat kerana memberikan kritikan berkenaan masalah 1MDB dalam sesi perbahasan Belanjawan 2017 baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah meluahkan rasa hairan dengan kenyataan Pandikar sebelum ini bahawa ketiga-tiga bekas Menteri itu melanggar Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan dengan berbuat demikian.

“Speaker sepatutnya mempertahankan keistimewaan dan imuniti Parlimen, tapi kini keadaan sebaliknya,” katanya.
“Speaker boleh buat sidang media di luar Parlimen dan kata tiga bekas menteri ini langgar kedua-dua akta tersebut. Ini merupakan ancaman kepada sistem demokrasi berparlimen.
“Kita mahu seorang Speaker yang pertahankan hak Parlimen, bukan sekat hak Parlimen. Jadi kita minta Speaker untuk bertaubat,” tegasnya.
Turut hadir ke mesyuarat berkenaan ialah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta anggota Parlimen pembangkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA