Selasa, 1 November 2016

PKR cabar Najib bentang penyata Tabung Haji

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kedudukan kewangan enam bulan pertama Tabung Haji sehingga 30 Jun lalu bagi tahun ini.
Katanya hasil analisis penyata pendapatan pada 31 Disember tahun lalu menunjukkan untung sebenar pelaburan Tabung Haji hanyalah RM450 juta.
Malah katanya tabung itu selama ini menggunakan kadar bayaran dividen tinggi untuk menyembunyikan kerugian besar pelaburannya.
"Saya juga sangat khuatir apabila analisis menunjukkan simpanan bersih bagi tahun 2015 merosot sebanyak lapan peratus sedangkan selama enam tahun dari 2009 hingga 2017 simpanan bersih bertambah pada purata 22.6 peratus.
"Selama ini mereka menyembunyikan kerugian besar pelaburannya kerana saban tahun simpanan bersih baru yang terus bertambah menenggelamkan kerugian-kerugian tersebut," katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu turut mendakwa Tabung Haji kekurangan RM3 bilion sekiranya pendeposit mengeluarkan simpanan pada 31 Disember pada tahun lalu.
Katanya, Tabung Haji hanya dilihat kukuh kerana pendeposit berterusan menambah simpanan tanpa mengira prestasi kewangan yang tidak menerima keuntungan dari aspek pelaburan.

"Minggu lalu Tabung Haji telah mengeluarkan keputusan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan terkini 31 Disember 2015 dan menerusi analisis pergerakan dana pendeposit menunjukkan jumlah simpanan bersih bagi tahun itu merosot lapan peratus sedangkan selama enam tahun dari 2009 hingga 2017 simpanan bersih bertambah pada purata 22.6 peratus.
"Dengan angka-angka yang tidak memberangsangkan sebegini, sudah tentu ia tidak mengejutkan apabila analisa kebolehupayaan Tabung Haji membayar semula simpanan pendepositnya menunjukkan jika pendeposit mengeluarkan sekaligus pada tempoh itu ia akan kekurangan wang untuk memulangkan semua simpanan," katanya.
Julai lalu, Rafizi mendakwa Tabung Haji melalui sebuah anak syarikatnya berdepan risiko kerugian berjumlah RM554 juta.
Beliau mendakwa dua syarikat antarabangsa telah menfailkan petisyen berasingan untuk menuntut hutang mereka daripada TH Heavy Engineering Berhad (THHEE).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA