Ahad, 27 November 2016

Petisyen atas talian desak AS dedah identiti MO1

Hampir 12,000 tandatangan sudah dikumpulkan secara atas talian untuk menyokong petisyen supaya Rumah Putih mendedahkan butiran individu dirujuk sebagai Malaysian Official 1 (MO1) dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) negara itu pada 20 Julai lalu.
Petisyen itu menyatakan dokumen mahkamah dikemukakan DOJ mendakwa sejumlah AS$681 juta (RM3 bilion) dipindahkan secara haram ke sebuah akaun milik MO1.
Bagaimanapun setakat ini tiada siasatan dibuat terhadap transaksi itu.
"Prime Minister Malaysia (Datuk Seri) Najib Razak enggan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bebas menyiasat skandal ini dan menghukum rakan separtinya, kakitangan kerajaan dan individu yang membangkitkan isu ini kepadanya.
"Lebih daripada itu Najib Razak secara berterusan menafikan beliau adalah MO1.
"Untuk menamatkan kleptorasi ini kami rakyat Malaysia mahu tahu siapakah MO1 itu," kata petisyen berkenaan.
Petisyen itu difailkan melalui halaman "Kami Rakyat" di laman sesawang Rumah Putih.
Jika petisyen itu memperoleh 100,000 tandatangan dalam tempoh 30 hari selepas difailkan - iaitu 24 November oleh seseorang dikenali sebagai "L.C." - Rumah Putih perlu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.
Saman yang dibangkitkan itu adalah berkaitan penghasilan filem The Wolf of Wall Street yang didakwa DOJ dibiayai melalui wang yang disedut dari agensi pelaburan milik kerajaan, 1MDB.
Derma Timur Tengah
Ia adalah hasil tindakan Inisiatif Perolehan Semula Aset Kleptokrasi DOJ yang menganggapnya sebagai "kes paling besar setakat ini".
Antara dakwaan pada dokumen mahkamah itu ialah, dana 1MDB sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat Malaysia.
Sebaliknya kata mereka dana itu digunakan bagi membiayai individu tertentu dan rakan mereka membeli kapal layar mewah, hotel, lukisan, perjudian dan menghasilkan filem The Wolf of Wall Street.
Berdasarkan data Unit Rasuah Antarabangsa Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Bahagian Siasatan Jenayah Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri, sekurang-kurangnya AS$1 bilion disalurkan melalui AS bagi membeli pelbagai aset di sana.

Bagi orang Malaysia dakwaan paling signifikan ialah dana berjumlah AS$731 juta (RM3.27 bilion mengikut nilai semasa) dipindahkan ke akaun MO1.
Nama MO1 disebut 36 kali dalam dokumen DOJ itu manakala hartawan kontroversi yang dikaitkan dengan Najib, Low Taek Jho - atau lebih dikenali sebagai Jho Low - serta anak tiri perdana menteri Riza Aziz dinyatakan secara jelas.
Secara kebetulan Najib sebelum ini pernah mengakui menerima "derma" bernilai RM2.6 bilion daripada seorang keluarga bangsawan Timur Tengah suatu ketika dulu.
Bagaimanapun Najib menafikan dana itu ada kaitan dengan 1MDB.
Perdana menteri juga menegaskan saman DOJ itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dirinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA