Rabu, 9 November 2016

'Pertubuhan silat tak terlibat himpunan baju merah' - Silat Gayung Pusaka Malaysia

Guru Utama Seni Silat Gayung Pusaka Malaysia, Majid Mat Isa memberi amaran kepada semua anak muridnya agar tidak menyertai himpunan yang dianjurkan oleh gerakan baju merah.
Majid berkata, ini kerana pertubuhan silat itu tidak mencampuri urusan politik demi menjaga nama baik persilatan.
"Mana-mana anak silat yang menyertai mana-mana himpunan mahu pun yang dijadualkan akan datang saya akan balun dan tentang mereka.
"Kita juga telah memberi arahan kepada anak-anak gayung Pusaka jangan sertai himpunan akan datang.
Kalau sertai juga dan kita dapat tahu, kita akan panggil dan ambil tindakan kepada mereka," kata Majid kepada Malaysiakini.
Malah, tegas Majid, aksi silat yang dipersembahkan pada himpunan membantah portal berita Malaysiakini Sabtu lalu bukan dari persatuan seni silat itu.
"Kita Persatuan Seni Gayung Pusaka Malaysia tak campur masalah orang lain dan yang pandai-pandai tunjuk silat hari itu pun bukan dari anak silat kita tetapi orang yang mahu busukkan nama silat gayung.

"Ini semua manusia kurang ajar yang hanya mencari kesempatan," keluh Majid dengan nada kesal.
Dalam protes di pejabat Malaysiakini pada Sabtu, beberapa anggota pergerakan baju merah mengadakan demonstrasi seni mempertahankan diri.
Mereka menunjukkan kehebatan dengan membenarkan diri mereka dipukul berulang kali menggunakan keping kayu.
Malah, salah seorang peserta memecahkan batu blok dengan kepalanya.
Baju merah ditubuhkan bagi menentang gabungan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH.
Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang memimpin baju merah berikrar menghimpunkan 300,000 peserta sebagai himpunan balas bagi membantah perhimpunan BERSIH yang dijadual pada 19 November ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA