Rabu, 2 November 2016

Pertemuan pembangkang permulaan baik untuk Bersatu

PUTRAJAYA - Parti Bersatu mengesahkan telah menerima jemputan untuk mengadakan perbincangan dengan Pas dan Pakatan Harapan dalam masa terdekat.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertemuan tersebut merupakan permulaan baik untuk Bersatu memulakan rundingan dengan parti-parti pembangkang lain mengenai bentuk kerjasama menjelang PRU14.
"Berita baik yang pertama, Pas telah menyatakan persetujuan untuk adakan perbincangan dengan kita. Tarikh pun telah ditetapkan dan bagi kami, itu satu langkah ke hadapan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin "Kedua, Pakatan Harapan sudah memberikan jemputan untuk kami hadir dalam satu mesyuarat antara pemimpin-pemimpin mereka dalam tempoh terdekat. Dari situ kita boleh dapat mengorak langkah bagi bentuk kerjasama yang sesuai dan boleh dijalinkan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dalam pertemuan tersebut, Bersatu akan memulakan proses rundingan bagi kerusi-kerusi yang boleh ditandinginya dalam PRU14.
"Bersatu dah teliti semua kerusi di negara ini yang berada di bawah Pakatan Harapan dan Pas. Jadi kita akan lihat kepada asas 'winnability'.
"Apa pun kita kena bincang dan ini mungkin ambil masa. Tetapi kita harap dapat penyelesaian yang dipersetuju oleh semua parti mengenai jumlah kerusi patut ditandingi Bersatu," katanya.
Menyentuh mengenai pertemuan dengan Pas, katanya, ia akan diadakan dengan pimpinan Pas secara beberapa peringkat.
"Ada beberapa pimpinan Pas yang telah diberikan amanah. Ada beberapa peringkat nanti, ini peringkat pertama. Kemudian disusuli peringkat tertinggi," katanya.

Ditanya sama ada Bersatu bersetuju dengan syarat Pas yang hanya ingin bekerjasama dengan pihak yang boleh menerima dasar Islam, beliau berkata, Bersatu tiada halangan.
"Saya fikir tak menjadi masalah jika mereka kata memperjuangkan Islam. Itu pun sebahagian yang penting dalam perjuangan Bersatu.
"Tetapi kita  juga tahu dalam Perlembagaan, hak agama lain memang terjamin. Dengan pertemuan ini, banyak perkara boleh kita rungkai dan bincangkan dari segi bentuk kerjasama dan sebagainya," katanya.
Malah, Muhyiddin berkata, Pas juga secara prinsipnya telah bersetuju dengan strategi satu lawan satu.
"Jadi, kalau itu sudah dijadikan asas kerjasama, ia satu kemajuan. Kita harap itu dapat diputuskan apabila kita adakan pertemuan rasmi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA