Khamis, 17 November 2016

Permohonan Anwar cabar keputusan penjara 14 Februari

Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.
anwar_law_600
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 14 Februari tahun depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya bagi mencabar keputusan Penjara Sungai Buloh tidak membenarkan sentuhan fizikal dengan ahli keluarga ketika lawatan di penjara itu.
Penolong Kanan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Shahid Adli Kamarudin, mewakili Anwar sekeluarga. Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.
Pada 3 November lepas, Anwar dan keluarganya memperoleh kebenaran dari mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan berkenaan.
Selain Anwar, 68, turut bertindak sebagai pemohon ialah isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63, 4 anak perempuan mereka Nurul Izzah, 35, Nurul Nuha, 32, Nurul Ilham, 28, dan Nurul Iman, 25, serta 4 cucu Anwar.
Mereka yang menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri selaku responden memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac lepas yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan kesemua ahli keluarga dibatalkan.

Mereka mendakwa semasa lawatan ke penjara yang dibenarkan setiap 3 minggu sekali, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dipisahkan daripada mereka melalui dinding kaca dan percakapan hanya dibuat melalui telefon.
Anwar, melalui surat peguam caranya bertarikh 2 Mac lepas, memohon kepada ketiga-tiga responden supaya membenarkan sentuhan fizikal semasa lawatan keluarga ke penjara tetapi mendakwa pengarah Penjara Sungai Buloh menolak permohonan berkenaan melalui surat bertarikh 14 Mac.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA