Sabtu, 26 November 2016

Perlembagaan dicabar menerusi tangkapan Jufazli, Bersih 5

Apa yang berlaku itu sebenarnya bukti menunjukkan atau memberikan indikator yang hakikatnya Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan kini sedang dicabar dan dalam bahaya.
Wan-Anwar-Wan-Ibrahim
Oleh Wan Anwar Wan Ibrahim
Tangkapan terhadap Pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah Jufazli Shi Ahmad dan yang terbaru 15 individu lain sempena perhimpunan aman Bersih 5.0 hujung minggu lalu adalah satu lagi daripada siri tangkapan dalam dunia “demokrasi” Malaysia.
Tangkapan terhadap Jufazli dipercayai disebabkan “posting” beliau yang dilihat terlalu kritikal terhadap kerajaan negeri Umno-BN Sabah.
Jufazli disiasat di bawah 3 peruntukan undang-undang berbeza iaitu Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 (Akta 15) di 3 balai/IPD yang berlainan di Sabah iaitu Tawau (2 kes), Kinabatangan dan Semporna.
Seksyen 500 berkenaan jenayah fitnah, Seksyen 233 menyentuh penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain manakala Seksyen 4 pula jelas menyebut tentang kesalahan menghasut. Jufazli dibebaskan daripada reman polis sementara menunggu pendakwaan (jika ada).
Di sebelah sini pula iaitu di Semenanjung, berlaku juga siri tangkapan terhadap beberapa individu penting yang dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 5. Tangkapan itu bermula seawal sehari sebelum Bersih 5.0 sehinggalah pada hari berlangsung perhimpunan itu.
Difahamkan seramai 15 orang yang terdiri daripada Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, Mandeep Singh, pemimpin politik pembangkang, aktivis mahasiswa dan juga aktivis masyarakat serta NGO.
Yang menghairankan, walaupun Mahkamah Tinggi memutuskan Bersih 5 perhimpunan yang aman dan polis bertanggungjawab mengawal selia perhimpunan itu selaras peruntukan Seksyen 18 Akta Perhimpunan Aman 2012, namun tangkapan masih dibuat?
Lebih mengelirukan walaupun polis dilihat “mesra” dan “bertolak ansur” dalam “memudahcarakan” perhimpunan Bersih 5, tetapi tangkapan dan penahanan masih juga dijalankan?
Maka jelas di sana menunjukkan polis langsung tidak konsisten dengan pendirian mereka berkenaan penganjuran perhimpunan aman tersebut.
Menjadi perkara paling mengecewakan pula apabila menteri pelajaran dan ketua setiausaha negara yang dilaporkan media bertindak menghalang guru serta penjawat awam menyertai perhimpunan aman itu dengan ugutan pemecatan dan potongan gaji.
Staf dan ahli akademik serta mahasiswa di IPT juga dihalang menyertai Bersih 5 oleh universiti masing-masing.
Padahal Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sendiri jelas menekankan halangan tersebut terang-terangan melanggar peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 736 di atas juga memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Sebahagian besar daripada mereka yang ditangkap kini sudah pun dibebaskan sementara menunggu pertuduhan jika ada kecuali Maria yang dipercayai masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Apa yang disebut di atas sebenarnya bukti menunjukkan atau memberikan indikator atau signal kepada kita, hakikatnya Perkara 10 Perlembagaan kini sedang dicabar dan dalam bahaya.
Walaupun negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mana hak bersuara dan berhimpun sepertimana yang termaktub dalam Perkara 10 tersebut merupakan antara nilai demokratik terpenting, namun tindakan pihak berkenaan dalam insiden di atas jelas menunjukkan sikap dan pendirian kita langsung tidak mencerminkan apa yang kita amalkan.
Itu belum lagi dikira dengan politik intimidasi diguna pakai melalui penggubalan dan penyalahgunaan akta baru dan sedia ada yang jelas menyekat dan merampas hak rakyat tersebut antaranya seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan yang terbaru Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang juga cuba untuk merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Polis seharusnya mempertahankan sistem demokrasi dalam negara kita yang mana hak berhimpun dan bersuara itu merupakan antara prinsip tunjang kepada nilai demokratik bukan dengan cara menunjukkan kepada dunia Malaysia ini negara polis.
Selain memiliki akta yang jelas mendatangkan reverse effect kepada Perkara 10 Perlembagaan, kita masih gagal menggubal akta baharu atau meminda mana-mana akta sedia ada yang benar-benar memperkasakan maksud dan tujuan peruntukan perlembagaan tersebut.
Akta Perhimpunan Aman 2012 cukup menjelaskan dan menekankan hak rakyat untuk berhimpun atau adakah sudah tiba masanya Parlimen menggubal akta seperti Akta Hak Terhadap Maklumat (“Right To Information Act”) 2005 sepertimana di India untuk lebih memberdayakan suara rakyat dalam proses semak dan imbang pentadbiran kerajaan?
Selagi mana tidak wujud akta atau undang-undang sedemikian, maka selama itu jugalah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan akan terus dipijak dan dicabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA