Jumaat, 4 November 2016

Perdana Menteri dicabar jawab soalan ‘derma’ RM2.6 bilion di Parlimen

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak dicabar hadir ke sidang Parlimen dan menjawab sendiri soalan-soalan berkaitan dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi beliau.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata ia berikutan jawapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa sebarang soalan berhubung perkara itu lebih sesuai dijawab oleh Kementerian Kewangan.
“Yang itu (soal derma RM2.6 bilion) kita telah serahkan hasil siasatan kepada pihak task force dan biarlah menteri kewangan kedua menjawab,” kata Zahid.
Gobind pada sidang media di lobi Parlimen hari ini meluahkan rasa kecewanya dengan tindakan Zahid yang cuba mengelak daripada menjawab soalan tersebut walaupun Ahli Parlimen Bagan Datoh itu pernah mendakwa dana berkenaan disumbangkan kepada Najib oleh penderma dari Arab Saudi.
Menurutnya, kenyataan Zahid itu bercanggah dengan pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bahawa wang RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi ‘Malaysian Official 1’ berpunca dari penyelewengan syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB.
“Soalan pertama saya sama ada siasatan tentang sumber derma itu ada dibuka kembali atau tidak, langsung tidak dijawab oleh beliau.
“Malah, soalan tentang apa yang terjadi kepada wang yang dikembalikan kepada penderma juga tidak dijawab. Beliau cuba mengelak dari menjawab soalan-soalan saya dan menyatakan biarlah menteri kewangan kedua yang menjawabnya,” jelas Gobind.

Sehubungan itu, Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP meminta Najib hadir ke sesi jawapan Kementerian Kewangan di Parlimen pada minggu hadapan bagi menjawab sendiri soalan-soalan berkenaan.
“Ini merupakan masa yang tepat (untuk Menteri Kewangan menjawab soalan). Jika beliau benar-benar tidak ada apa untuk disembunyikan, Parlimen adalah platform paling sesuai untuk berbuat demikian.
“Isu ini melibatkan badan-badan antarabangsa, bukan setakat isu di dalam Malaysia,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA