Jumaat, 4 November 2016

Pengundi Malaysia Masih Memihak Politik Perkauman

KUALA LUMPUR: Parti politik perkauman dilihat seolah-olah menjadi apa yang dimahukan pengundi Malaysia dan undi akan terus memihak kepadanya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, sejak merdeka, Malaysia telah menyaksikan kebangkitan banyak parti perkauman seperti Umno, MCA dan MIC.

"Ada sesetengah parti yang cuba mengubah keadaan ini. Tetapi realitinya, apabila tiba masa mereka mahu membuat keputusan strategi pilihan raya, mereka perlu mengikuti rentaknya," kata beliau pada satu forum yang dianjurkan oleh Pusat Hal Ehwal Global Malaysia (Icon), Khamis.
Katanya, parti-parti politik perlu mengambil kira pembahagian kawasan mengikut etnik dan siapa yang mereka mahu untuk isi sebagai calon untuk kerusi di kawsan itu.

"Malah parti bukan perkauman perlu 'bermain' dengan perkauman. Itulah permintaan demokrasi orang-orang kita terhadap sesiapa yang mahu bertanding," kata Wan Saiful.

Wan Saiful berkata demokrasi adalah mengenai apa yang popular, bukan tentang apa yang baik.

"Ironinya, itulah demokrasi. Ia boleh memberikan kerajaan yang baik, atau ia boleh memberikan anda satu kerajaan yang membawa anda dalam trajektori yang salah, atau kerajaan yang membahayakan kebebasan individu anda," katanya.

Jadi, jika rakyat Malaysia mahukan sebuah negara yang menghargai kebebasan, Wan Saiful berkata, perlu ada satu idea yang popular di mata pengundi.

"Kita perlu mengubah iklim pendapat supaya ia dapat menyokong penambahbaikan. Kita perlu bekerja dengan orang ramai, bukan sahaja ahli-ahli politik," katanya.

Wan Saiful berkata masa depan Malaysia kelihatan suram, apabila institusi tidak dipercayai, dan masih belum cukup orang yang cuba untuk menukar pendapat awam bagi membolehkan ahli politik bukan perkauman dipilih.

"Jadi melihat trend demokrasi semasa domestik, apa yang akan berlaku kepada negara ketika kita bergerak ke hadapan? Saya tidak tahu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA