Khamis, 17 November 2016

Penghulu Orang Asli tuntut RM3 juta dari pembalak, NGO lapor SPRM

Aktivis Bumi selepas membuat laporan SPRM.Aktivis Bumi selepas membuat laporan SPRM.
Sebuah NGO, Badan Gabungan Aktivis Alam Sekitar Kelantan Malaysia (Bumi) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengemukakan bukti-bukti berdokumen berkaitan kes salah laku pembalakan di hutan simpan Balah termasuk surat Penghulu Pos Gob meminta RM3 juta dari syarikat pembalak dan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK).
"Laporan ini dibuat untuk tindakan pihak SPRM menyiasat kes salah laku membabitkan Penghulu Pos Gob dengan syarikat pembalak Souncern Timber Sdn. Bhd. dan Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK)," kata pengerusi Bumi, Fairul Azam Ibrahim yang menyerahkan laporan kepada pejabat SPRM Kota Bharu semalam.

Fairul Azam (kiri) menyerahkan dokumen kepada pegawai SPRM bertugas.Fairul Azam (kiri) menyerahkan dokumen kepada pegawai SPRM bertugas.Ini katanya rentetan bantahan penduduk Orang Asli yang digerakkan oleh Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan dengan aktivis alam sekitar di Kelantan yang membuat tinjauan dan pemerhatian banyak salah laku yang berlaku.
"Kami turut mengemukakan bukti bersabit Penghulu Pos Gob menerima Hilux Putih daripada syarikat pembalak.
"Syarikat pembalak membuat aktiviti pembalakan melanggari rizab yang dibenarkan dan di bawah dua rantai dekat dengan sungai.
"Juga berkaitan kubur nenek moyang Orang Asli ditolak jentera pembalak," katanya.
Semua dakwaan, katanya disertakan bahan bukti berkaitan salah laku yang telah disiasat NGO itu.
"Setiap kes yang kami masukkan dalam laporan ini dilengkapi dokumen lengkap termasuk nama-nama mereka yang terlibat dan salinan laporan-laporan polis dari pelbagai pihak," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA