Khamis, 10 November 2016

Penangkapan Jufazli dan masa depan Sabah

Jufazli bersalah kerana cuba mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran Sabah yang sering dianggap deposit tetap BN.
Jufazli-Shi-Ahmad
Oleh Wan Salman Wan Sallam
Malam tadi, Jufazli Shi Ahmad memuat naik status di laman Facebook berkenaan penahanannya di Balai Polis Travers, kuala Lumpur.
Saya mengenalinya secara peribadi. Jufazli bukan calang-calang orangnya. Jika kita menyangka orang Malaysia Timur selalu senyap akan penindasan pemerintah, hanya tahu “memakan dedak” dan berpelajaran rendah, beliau adalah sebaliknya.
Pada 2008, Jufazli merupakan salah seorang daripada 6 pelajar terbaik STPM peringkat negeri Sabah, dengan memperoleh PNGK 4.00.
Jufazli juga merupakan lulusan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kelantangannya sebagai salah seorang penggerak utama Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah menidakkan dengan lebih agresif lagi stereotaip orang Sabah yang tidak peduli akan penindasan yang dilakukan terhadap mereka yang hanya dianggap sebagai deposit tetap Barisan Nasional saban pilihan raya.
Sehingga cerita ini disiapkan, masih belum ada lagi sebab khusus penahanan Jufazli oleh pihak polis.
Tetapi di sini saya senaraikan antara “jenayah” Jufazli:
* Mempersoal kebobrokan kritikal bekalan air di Sabah meskipun diperuntukkan belanjawan tertinggi sejak 5 tahun lalu untuk bekalan air (RM715.36 juta).
* Mempersoal kronisme projek air yang dianugerahkan selama 20 tahun.
* Menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dengan mendalam tanpa bertolak ansur, bukan sahaja Pengarah Jabatan Bekalan Air Sabah tetapi juga terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan bekas ketua menteri, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.
* Mengkritik dengan lantang Datuk Seri Najib Razak kerana mempertahankan Musa dan pemimpin Sabah lain.

* Mempersoal sama ada SPRM dan Peguam Negara akan menutup kes skandal air Sabah begitu sahaja demi melindungi kepentingan induvidu atau kumpulan elit tertentu di Sabah.
* Mengkritik pengekalan jawatan timbalan pengarah Jabatan Bekalan Air Sabah meskipun selepas penahanan pengarahnya.
Pagi ini pembicaraan Jufazli akan menentukan nasib rakyat Sabah yang disuap gula-gula dan janji manis dan lebih teruk, diugut sekiranya tidak terus mengikut kata penindas yang zalim dan jika tidak memilih mereka dalam pilihan raya seterusnya.
Jika hari ini kita sangka tiada lagi harapan untuk Sabah, Jufazli bangkit membuktikan sebaliknya. Marilah kita menyokong pembebasan Jufazli demi masa depan Sabah dan Malaysia yang lebih baik!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA