Khamis, 17 November 2016

Pemuda Umno: Adam patut digelar ‘Mr Commission’

Armand mendakwa banyak urusan pentadbiran untuk mendapatkan projek pasir harus membayar sebilangan kecil komisen kepada Adam.
Datuk-Armand-Azha-Abu-Hanifah
SHAH ALAM: Pemuda Umno hari ini mendakwa Datuk Adam Rosly memiliki kekayaan luar biasa pada usia 28 tahun kerana menjadi perantara ketua Wanita PKR dan kerajaan Selangor untuk mendapatkan projek di negeri itu.
Sehubungan itu, exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat ketua Pemuda PKR Ampang itu dan Zuraida Kamaruddin yang didakwa terbabit dalam skandal rasuah di Selangor.
“Saya difahamkan Adam ini jadi ‘player marker’ dan ‘perantara’ Zuraida. Kita lihat beliau pemimpin muda yang patut digelar ‘Mr Commission’ di Selangor.
“Di mana kami dimaklumkan banyak urusan pentadbiran untuk dapatkan projek pasir harus bayar sebilangan kecil komisen kepada Adam. Adam ini jadi ‘player marker’ dalam Selangor.
“SPRM perlu buat kunjungan hormat ke rumah Adam dan Zuraida bagi membuktikan integriti badan itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno Selangor hari ini.
Kelmarin, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos membawa beberapa wartawan menaiki helikopter untuk menunjukkan banglo milik Adam dan mendakwa pemuda itu turut memiliki pelbagai kereta mewah, walaupun baru sepenggal memegang jawatan dalam PKR.
Adam bagaimanapun berkata, memiliki harta kekayaan dan gelaran “Datuk” pada usia muda bukanlah sesuatu yang aneh dan mencabar Jamal membuat laporan kepada SPRM.
Kelmarin juga, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, beliau sudah membuat laporan kepada SPRM.

Armand turut mencabar Adam mengisytihar semua hartanya.
“Bagaimana beliau dalam usia 28 tahun hanya sebagai ketua pemuda PKR Ampang miliki rumah yang dikatakan hanya RM1 juta.
“Bukan itu sahaja, beliau juga memiliki aset lain seperti kereta mewah dan motosikal besar yang dicampurkan bernilai jutaan ringgit. Isu rasuah di Selangor ini amat serius,” katanya.
Semalam, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli turut menasihatkan Adam mengisytihar hartanya secepat mungkin kerana ia adalah mekanisme pemeriksaan dan kawal selia diri yang perlu dilakukan semua orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA