Isnin, 14 November 2016

Pemimpin MIC: Siapa beri dokumen sulit pada Rafizi?

Bendahari MIC, S Vell Paari mempersoalkan bagaimana anggota parlimen PKR, Rafizi Ramli memiliki dokumen sulit.
"Sementara yang lain bimbang mengenai status Rafizi sebagai anggota parlimen Pandan, saya lebih bimbang dengan fakta bahawa Rafizi secara haram memiliki dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Persoalannya ialah bagaimana Rafizi mendapat dokumen sulit ini apabila dia bukan anggota audit mahupun ahli Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC)," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Vell Paari, seseorang daripada PAC mungkin telah sengaja memberikan laporan audit 1MDB kepada Rafizi.
"Ini pastinya seseorang dari blok pembangkang. Ini melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
"Satu lagi hipotesis adalah bahawa Rafizi mungkin telah mencuri dokumen sulit daripada anggota PAC tanpa pengetahuan mereka," katanya.
Tangkap pesalah
Sehubungan itu, Vell Paari meminta polis segera menyiasat perkara ini dan menangkap pesalah-pesalah yang melanggar OSA untuk kepentingan politik.
Mengimbas kembali kes-kes mahkamah sebelum ini yang melibatkan Rafizi, pemimpin MIC itu berkata tiada simpati sepatutnya diberikan terhadap pemimpin PKR itu.
"Tiada siapa mengatasi undang-undang di negara ini," katanya.

Pagi ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Rafizi bagi dua pertuduhan, yang berjalan serentak.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Anggota Parlimen Pandan dituduh memiliki 98 muka surat laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB tanpa kebenaran dan melanggar Seksyen 8 (1) (c) (iii) OSA.
Beliau juga dituduh mendedahkan dokumen sulit itu tanpa kebenaran di lobi Parlimen pada 28 Mac, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 (1) (e) (iv) OSA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA