Isnin, 7 November 2016

Pemimpin berkarismatik tinggalkan pelapis, bukan syok sendiri


Dr Mariah Mahmud Dr Mariah Mahmud Pemimpin yang berkarismatik adalah mereka yang mampu meninggalkan pelapis untuk meneruskan perjuangan dan prinsip parti, bukannya menjadi pemimpin 'syok' sendiri, kata Dr Siti Mariah Mahmud Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan).
Beliau berpandangan, seorang pemimpin juga tidak perlu 'angkuh' untuk menggerakkan parti hingga mahu memegang sesuatu jawatan lebih lama daripada dua penggal.
"Leader (pemimpin) yang bagus mestilah meninggalkan pelapis. Janganlah kita berasa angkuh, sebaliknya kita perlu meninggalkan pelapis yang ramai.
"Kita tidak perlu ada di atas selamanya tetapi karismatik leader itulah yang terbaik," ujarnya.
Beliau bercakap dalam satu forum bertajuk Wanita: Penglibatan Politik Melahirkan Kepimpinan yang Berkarismatik anjuran Institut Kepimpinan Zaaba di Hotel De Palma Ampang semalam.
Sebelum itu beliau menjawab pertanyaan moderator Rashidah Arshad sebab beliau meninggalkan Pas dan menyertai Amanah.
Dr Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, politik itu satu wadah bukan akidah, namun ujarnya, apabila prinsip itu dicabuli beliau merasakan tidak mahu lagi berada dalam Pas.
"Kita kena faham politik itu satu wadah bukan akidah.
"Saya menyertai Pas dan menyesuaikan diri apa yag dibawa oleh parti yang memperjuangan Islam. Sebagai pemimpin wanita ketika itu bersama Dr Loqloq (Allahyarhamah) dan pemimpin lainnya dengan pendekatan kami membantu Pas untuk mengangkat Pas dari 'parti kampung', 'parti tok lebai' hingga kita arus perdanakan dengan hubungan baik bersama NGO dan non muslim untuk menjadikan parti itu lebih progresif.
"Sebab itu wujud slogan 'Pas for All' tujuan sebenar dakwah bukan politik. Dulu Pas buat ceramah hanya pada kelompoknya sahaja setelah bertahaluf kita boleh menerangkan Islam secara lebih mendalam dan membuat non muslim lebih berminat kepada Islam...kita telah laksanakan dengan jayanya.
"Pertukaran (sertai Amanah) itu kerana ada u-turn dalam strategik dan pendekatan Pas yang mahu dicapai terlalu jauh daripada apa yang saya terdididik didalamnya untuk menerima prinsip parti itu sebelumnya.

"Saya tidak boleh terima ada prinsip tertentu yang telah dibawa dalam masa kita terdidik itu kita buat keputusan dengan majlis syura dan banyak prinsip diikuti...saya merasakan tidak mahu berada lagi...saya nak teruskan apa yang telah kita buat sebelum ini.
"Malah saya merasakan dengan berubah strategi itu sebenarnya merugikan dakwah Islam dan jangka panjang," ujar wakil rakyat dua penggal yang menang atas tiket pas dalam pilihan raya 2008 dan 2013 lalu.
Malah kata Dr Mariah lagi, beliau menyimpan hasrat untuk tidak mahu menjadi wakil rakyat dalam PRU ke-14. Oleh sebab menyertai Amanah hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana diamanahkan pula memegang jawatan Ketua Awan.
"Saya telah membuat keputusan hanya untuk dua penggal sahaja kerana saya nak bagi orang lain memimpin.
"Banyak yang saya rugi (dalam tempoh berjawatan) masa anak-anak membesar, cucu dah 14 orang.
"Saya dah warwarkan kali ini 'last term' cukuplah dua penggal bagi jadi YB dan ganti orang baru untuk ganti tempat saya.

"Tetapi hari ini saya diamanahkan pula untuk membangunkan Angkatan Wanita Amanah Nasional...jadi ini 'critical moment' saya tidak boleh tinggalkan jawatan dan perlu korbankan tahun berikutnya sehingga pilihan raya.
"Saya cuba berbincang bolehkah saya pergi, bolehkah saya pergi... saya tak mahu ambil 'prime time' sebaliknya mahu beri laluan kepada pelapis.
"Kita mahu politik lebih terbuka dan harmoni...nak membangunkan Awan untuk memainkan peranan mendidik budaya yang baik bukan negatif dalam berpolitik," ujarnya.
Forum selama dua jam itu turut dihadiri oleh veteran Umno, Tan Sri Zaleha Ismail; Exco Pembangunan Wanita Negeri Pahang Datuk Shahaniza Shamsudin;Adun Batu Tiga Rodziah Ismail dan; Dr Fadilah Ashari dari Biro Wanita Ikatan Mulimin Malaysia (Isma) manakala moderator Rashidah Arshad dari Institut Kepimpinan Zaaba.
(Dari kiri) Dr Fadilah Ashari, Datuk Shahaniza Samsuddin,Tan Sri Zaleha Ismail, moderator Rasidah Arshad, Dr Siti Mariah Mahmud dan Rodziah Ismail dalam forum yang diadakan malam tadi.(Dari kiri) Dr Fadilah Ashari, Datuk Shahaniza Samsuddin,Tan Sri Zaleha Ismail, moderator Rasidah Arshad, Dr Siti Mariah Mahmud dan Rodziah Ismail dalam forum yang diadakan malam tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA