Selasa, 1 November 2016

Pembantu Rosmah sembang Riza sertai rombongan ke China atas pelawaan Beijing

Rizal berkata, adalah normal jika perdana menteri mahu anak-anaknya bersama ketika lawatan panjang selama seminggu, apatah lagi najib menerima jemputan khas Beijing untuk membawa keluarganya ke sana.
rizal-mansor-perdana-menteriPETALING JAYA: Satu-satunya alasan 2 anak Datuk Seri Najib Razak dan isterinya menyertai lawatan rasmi delegasi Malaysia ke China kerana Beijing mempelawa mereka sekeluarga ke sana, kata pembantu perdana menteri.
Rizal Mansor melalui Facebooknya hari ini mempertahankan keluarga majikannya dengan berkata, Najib jarang membawa keluarganya untuk lawatan rasmi, tetapi kunjungan ke China kali ini adalah satu pengecualian.
“Adalah normal jika perdana menteri mahu anak-anaknya bersama ketika lawatan panjang selama seminggu, apatah lagi jika terdapat jemputan khas untuk membawa keluarga.
“Kerajaan China menjemput perdana menteri dan keluarganya dalam lawatan ke China kali ini. Mereka yang arif dengan budaya China pasti tahu ianya satu kebiasaan untuk pemimpin China menjalin keakraban melalui hubungan peribadi dan keluarga dengan pemimpin lain,” katanya.
Hari ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempertikaikan keperluan anak tiri Najib, Riza Aziz menyertai delegasi Malaysia ke China kerana dia tidak sepatutnya diberikan layanan istimewa, sebaliknya perlu ditahan serta disiasat.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa Riza menggunakan dana 1MDB untuk membiayai pembikinan filem Wolf of Wall Street, di mana namanya bersama jutawan, Low Taek Jho turut disebut dalam saman sivil difailkan jabatan itu bagi merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB.
Rizal berkata, hubungan dua hala Malaysia-China terjalin sejak 1974, ketika pentadbiran bapa Najib, Tun Abdul Razak, menjadikan Malaysia negara pertama Asean menjalin hubungan diplomatik dengan Beijing.
Beliau berkata, lawatan rasmi kali ini bakal menyaksikan berpuluh-puluh perjanjian perdagangan dan pelaburan dimeterai dan ia bakal membawa puluhan bilion ringgit pelaburan dan manfaat kepada Malaysia.

“Jadi, mengapa perlu dibangkitkan soal kecil mengenai kedua anak mengikuti beliau dalam lawatan ini? Lagipun lawatan ke China bukan untuk menunggang kuda ataupun melawat ladang,” katanya.
Ini adalah kunjungan rasmi ke-3 Najib ke China, sejak beliau dilantik menjadi perdana menteri pada 2009.
Beliau akan berada di China sehingga 6 November ini bersama rombongan 8 menteri dan 3 menteri besar, di mana lebih 10 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua kerajaan dalam bidang pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan bakal dimeterai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA