Rabu, 16 November 2016

Pelajar sertai himpunan #TangkapMO1 mahu UKM batal hukuman

Asheeq memberi UKM seminggu untuk menarik balik hukuman penggantungan dan denda terhadapnya, selain 24 jam kepada Mantap bagi memadamkan catatan mereka dan memohon maaf secara terbuka.
asheeq-ali-um-tangkap-mo1
BANGI: Aktivis pelajar, Asheeq Ali tetap ingkar dalam melaksanakan haknya untuk memprotes dan meminta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membatalkan penggantungan terhadapnya kerana menyertai himpunan #TangkapMO1, Ogos lalu.
Bercakap kepada wartawan di luar universiti itu sebelum menyerahkan memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Asheeq berkata, beliau tidak akan menerima sebarang bentuk amaran daripada UKM.
“Saya tidak akan bertolak ansur walaupun amaran daripada UKM terhadap tindakan saya pada majlis itu. Saya akan serah rayuan saya hari ini dan memberi UKM seminggu menarik balik penggantungan dan hukuman yang dikenakan.
“Ini satu bentuk ugutan dan penyalahgunaan kuasa oleh UKM secara jelas,” katanya.
Asheeq turut memberi amaran kepada “Mahasiswa Turun Parlimen” (Mantap) kerana memfitnah beliau dalam Facebook, semalam.
“Catatan itu menggesa semua pelajar jangan ikut jejak saya. Mereka sudah menggunakan sekeping gambar saya tanpa kebenaran saya,” katanya yang memberi tempoh 24 jam kepada Mantap memadamkan catatan itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka atau “saya akan mulakan tuntutan mahkamah”.
FMT hari ini melaporkan seorang pelajar jurusan undang-undang tahun 3 digantung 1 semester dan didenda RM200, selepas didapati bersalah dalam pendengaran dengan lembaga disiplin universiti, semalam.
Asheeq berkata, alasan lembaga disiplin ialah beliau memalukan universiti itu dan melakukan kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan menyertai sebuah perhimpunan haram.
“Untuk menyabitkan seseorang bersalah, lembaga pendengaran UKM perlu membuktikan niat orang itu hendak memalukan universiti.

“Saya tiada niat memalukan universiti. Saya hanya sertai sebagai rakyat Malaysia untuk melaksanakan hak saya bagi membebaskan negara daripada rasuah.”
Asheeq bukan pelajar pertama yang dihukum kerana menganjurkan perhimpunan itu.
Bulan lalu, Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Anis Syafiqah Md Yusof bersama 3 pelajar lain diberikan surat tunjuk sebab oleh Universiti Malaya untuk sebab sama.
Himpunan #TangkapMO1 diadakan untuk mendesak polis menyiasat dan menahan Malaysian Official 1 (MO1) yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), Julai lalu, bagi merampas aset berbilion dolar yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.
Dalam saman sivil DOJ itu, MO1 yang tidak didedahkan identitinya didakwa menerima wang bernilai AS$731 juta daripada 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA