Isnin, 28 November 2016

Pejabat Empower diserbu polis, disiasat bawah Sosma

Peguam berkata kumpulan hak asasi wanita itu yang turut diasaskan oleh Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah kini disiasat di bawah Sosma dan Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan.
Honey-Tan-Lay-Ean
PETALING JAYA: Polis hari ini menyerbu pejabat kumpulan NGO hak asasi wanita Pusat Kesedaran Komuniti (Empower) di Seksyen 4 di sini.
Empower menerusi akaun Twitternya berkata 10 pegawai polis menyerbu pejabat itu kira-kira jam 1 petang tadi dan tiada sebab diberikan mengapa serbuan dilakukan.
Peguam Honey Tan Lay Ean yang juga ahli Empower berkata NGO itu disiasat mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan kerana menjalankan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen dan juga Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.
“Pada masa ini, apa yang kami tahu ada 3 pekerja sedang disoal siasat polis di dalam pejabat.
“Ini prosedur sama digunakan polis untuk menyiasat Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah,” katanya ketika dihubungi FMT.
Maria ditahan di bawah Sosma pada 18 November, sehari sebelum himpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur.
Beliau pada masa ini ditahan dalam kurungan di lokasi rahsia. Peguamnya, R Sivarasa berkata Maria ditahan dalam sel tanpa tingkat dengan mentol terpasang 24 jam.
Sementara itu, Empower menerusi Twitter berkata: “Polis tidak membenarkan peguam masuk ke pejabat kami dan menutup semua tingkap dengan kertas supaya orang di luar tidak lihat apa yang mereka lakukan.”
Tan menyifatkan serbuan hari ini sebagai senyap dan menakutkan, berkata ia berbeza dengan serbuan polis terhadap Empower pada 2011.

“Ia tidak sama seperti serbuan biasa. Pada 2011 ketika Empower diserbu, ia normal kerana ada lebih 20 pegawai polis beruniform dan berbaju biasa.
“Ia sangat senyap dan menakutkan apabila kami menunggu di luar pagar pejabat,” katanya.
Empower juga diasaskan oleh Maria, yang bermatlamat untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam proses politik.
Empower sebelum ini berkongsi pejabat dengan Bersih 2.0 sebelum berpindah tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA