Sabtu, 19 November 2016

Peguam terkejut Maria ditahan di bawah Sosma

Aktivis hak asasi manusia berkata pengerusi Bersih itu tidak ada kaitan dengan pengganas atau keganasan.
maria-chin-sosma
PETALING JAYA: Peguam Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah terkejut apabila mendapat tahu beliau ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen tergamam apabila diberitahu mengenai penggunaan undang-undang keselamatan itu: “Sosma tidak sepatutnya digunakan terhadap orang seperti Maria. Beliau sebahagian daripada demokrasi dan tidak ada kaitan dengan pengganas atau keganasan,” katanya.
Beliau merujuk kepada menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam perbahasan Parlimen yang berkata undang-undang itu digunakan terhadap kumpulan pengganas Al Maunah, pemberontakan dan perang gerila.
Menurut Paulsen, beliau diyakinkan oleh pegawai penyiasat semalam bahawa Maria ketika ditahan tidak disiasat di bawah Sosma.
“Tiba-tiba saya dihalang daripada bertemu Maria. Mereka tangguh-tangguh, tiada siapa mahu bertanggungjawab. Kemudian saya buat beberapa panggilan dan mendapati beliau disiasat di bawah Sosma dan oleh sebab itu saya tak boleh berjumpa dengannya.”
Tempoh tahanan reman biasa lazimnya 24 jam tetapi boleh dilanjutkan bergantung kepada tahap kesalahan sekiranya siasatan tidak boleh diselesaikan dalam masa 24 jam.
Sosma membenarkan penahanan 28 hari tanpa bicara.
Paulsen menyifatkan penahanan seperti itu ke atas Maria sebagai “sangat berat”.
Maria dan urusetia Bersih Mandeep Singh ditahan pada Khamis selepas serbuan ke atas pejabat gabungan itu di Petaling Jaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA