Sabtu, 5 November 2016

Peguam: Siasat 3 bekas menteri untuk takutkan individu bangkit isu 1MDB

Eric berkata, menyalahgunakan kuasa polis sehingga ke institusi Parlimen yang sepatutnya selamat daripada sebarang penindasan menunjukkan ruang demokrasi sempit di negara ini.
eric-paulsen-1mdb
PETALING JAYA: Lawyers for Liberty menyifatkan tindakan polis menyiasat 3 bekas menteri yang membangkitkan isu 1MDB di Dewan Rakyat adalah taktik kotor untuk menakut-nakutkan pembangkang dan sesiapa sahaja yang lantang bersuara mengenai perkara itu.
Pengarah eksekutifnya, Eric Paulsen mengulas siasatan polis ke atas bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas dakwaan membocorkan rahsia kerajaan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat, minggu lalu.
“Walaupun hasutan tidak dilindungi keistimewaan Parlimen, jelas pihak berkuasa begitu terdesak menyiasat Husni dan lain-lain hanya kerana membawa isu 1MDB.
“Dengan menyalahgunakan kuasa polis sehingga ke institusi Parlimen yang sepatutnya selamat daripada sebarang penindasan menunjukkan ruang demokrasi sempit,” kata Eric Paulsen kepada FMT hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Husni cuba menghasut rakyat mempercayai perdana menteri melakukan kesalahan, sedangkan siasatan ke atas 1MDB belum selesai.
Bahkan, polis percaya mempunyai alasan mencukupi untuk menyiasat 3 bekas menteri di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan.

Eric berkata, siasatan ke atas pihak yang menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit dalam skandal 1MDB lebih penting daripada menyiasat Husni, kerana bekas menteri kewangan kedua itu sekadar menjalankan tugasnya di Dewan Rakyat.
“Saya nasihatkan pihak berkuasa menyiasat skandal 1MDB yang melibatkan kerugian dana negara berbilion-bilion ringgit. Ini kerana isu ini sudah disiasat di seluruh dunia.
“Apa yang dibangkitkan Husni berciri kepentingan awam dan beliau hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ahli Parlimen,” katanya.
Siasatan ke atas 3 bekas menteri itu dibuat susulan laporan polis dibuat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA