Khamis, 17 November 2016

Peguam pesan jangan tangkap Jufazli menjelang Bersih 5

Wan Anwar Wan Ibrahim berkata usaha menghalang Anak guamnya menyertai Bersih 5, termasuk melalui tangkapan hanya akan memburukkan persepsi mengenai wujud intimidasi ke atasnya.
Jufazli
KUALA LUMPUR: Peguam kepada Jufazli Shi Ahmad berkata pihaknya berharap pihak berkuasa tidak menangkap aktivis Sabah itu menjelang himpunan Bersih 5, Sabtu ini.
Wan Anwar Wan Ibrahim mendakwa memang wujud risiko Jufazli yang juga pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah mungkin ditahan semula berhubung kesnya baru-baru ini.
“Jufazli baru saja selesai menjalani siasatan polis di Sabah selepas ditahan di Kuala Lumpur 9 November lalu. Beliau tetap bersemangat untuk terus mendedahkan penyelewengan dan salah guna kuasa pemimpin negara kita.
“Sebarang usaha untuk menghalangnya menyertai Bersih 5, termasuk melalui tangkapan hanya akan memburukkan lagi persepsi yang wujud intimidasi ke atas beliau,” katanya dalam satu kenyataan.
Jufazli ditangkap ditahan reman di Lokap Bersepadu Jinjang pada 9 November lalu, sebelum dihantar pulang ke Sabah 2 hari kemudian.
Pada 15 November beliau yang ketika itu direman di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau ditahan ekoran kritikannya terhadap kerajaan Sabah dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, dan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas dakwaan fitnah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Wan Anwar berkata polis sudah menyelesaikan siasatan namun tidak pasti sama ada ia akan disusuli dengan pendakwaan atau tidak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA