Isnin, 7 November 2016

PAS yakin RUU355 dibentang pada akhir sidang

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri Pas percaya Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) akan dibentangkan dan dibahas sebelum sidang Dewan Rakyat bagi sesi ini berakhir.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri menjangkakan, pindaan RUU itu dapat dibentangkan pada 23 atau 24 November ini.
‎"Insya-ALLAH pada tarikh berkenaan, tunggu dan lihat," katanya kepada Sinar Online di lobi Parlimen, hari ini.
RUU itu bertujuan meminda Seksyen 2 akta itu bagi menggantikan peruntukan‎ dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai  kuasa ke atas penganut agama Islam, dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang‎ disenaraikan dalam Butiran 1, Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang‎ disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan beliau tidak pasti jika‎ ada masa bagi RUU Persendirian yang dibawa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk dibentangkan di Parlimen.

Abdul Hadi pada Mei mengesahkan RUU itu bertujuan untuk memperluaskan lagi skop hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah dan bukan bermaksud untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.
Difahamkan, pindaan akta itu hanya memerlukan majoriti mudah dan tidak perlu mendapatkan sokongan 2/3 dewan.
Sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-13, akan berakhir pada 24 November ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA