Isnin, 21 November 2016

PAS: Tiada tahaluf buat penentang, pengkhianat Islam

Kerjasama adalah satu amalan mulia yang diperintahkan oleh Allah dalam kita menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah mafhum daripada perintah Allah dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan bertolong-tolonganlah dalam perkara kebajikan (menegakkan makruf) dan takwa (meninggalkan mungkar)”.
Salah satu kerjasama yang penting ialah kerjasama politik atau disebut “tahaluf siyasi.” Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh terbaik dalam melaksanakan kerjasama politik terutama dengan orang bukan Islam.
Ketika umat Islam diwajibkan bersatu padu atas dasar Islam (hablillah), umat manusia secara umum diperintahkan supaya saling berkenalan (taaruf), yang menunjukkan perlunya ada hubungan kemanusiaan sesama insan.
Dalam sejarah, tahaluf yang berlaku menunjukkan bagaimana keharusan dan prinsip amalan berkenaan, seperti:
  • Peristiwa al-Fudhul: Untuk menentang kezaliman
  • Dengan Abu Talib: Untuk melaksanakan dakwah
  • Dengan Muth’im bin Adi: Untuk memelihara keselamatan pendakwah
  • Dengan Yahudi dalam Sahifah Madinah: Untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan Madinah
  • Perjanjian Raidhwan (dengan Quraisy): Untuk gencatan senjata.
Adapun beberapa peristiwa Muhammad menolak tahaluf seperti:
  • Dengan Abu Lahab - untuk berkompromi tentang akidah
  • Dengan Bani Amir - kerana tidak mahu memberi komitmen menyerah pemerintahan kepada orang tidak beriman dan
  • Dengan Bani Syaiban - kerana mengelakkan gerakan Islam terjerumus ke dalam perangkap musuh
  • Ia telah memberikan garis sempadan dalam kita mengadakan hubungan atau kerjasama politik dengan pihak lain.
Satu prinsip terpenting dalam tahaluf siyasi yang dilaksanakan ialah ia mesti memberikan keuntungan kepada Islam. Mustahil kita melakukan sesuatu tahaluf yang tidak menguntungkan, apatah lagi merugikan Islam.
Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis riwayat Muslim dan Abu Daud dari Jubair bin Muth’im yang bermaksud: “Tidak ada tahaluf dalam Islam dan setiap tahaluf yang dibuat semasa jahiliyah maka Islam menambahkan kekuatannya”.
Tak bertolak ansur
Maka dalam hal ini, saya gariskan beberapa prinsip asas yang mesti menjadi panduan setiap kali kita membawa cadangan untuk melakukan kerjasama politik.
Pertama, Islam hendaklah menjadi pemimpin dalam kerjasama politik. Tidak boleh sama sekali Islam dipimpin. Sesiapa yang mempunyai kecenderungan untuk bersama PAS, mesti menerima PAS sebagai pemimpin.
Kedua, kerjasama mestilah dibuat atas dasar Islam. Dasar-dasar lain yang bercanggah dengan Islam tidak boleh diterima dalam kerjasama politik.
Kita mungkin boleh bertolak ansur untuk menerima “persepakatan” dalam kepentingan bersama yang selari dengan Islam seperti menentang kezaliman, mencegah rasuah dan seumpamanya.
Tetapi kita tidak akan bertolak ansur untuk menggadai dasar Islam.
Ketiga, semua kerjasama yang dirangka mesti membawa keuntungan kepada Islam. Kerjasama yang terang-terangan merugikan Islam, mencabar kemuliaan Islam atau menentang Islam tidak akan wujud sama sekali.

Sebagai sebuah gerakan Islam, apabila kita mahu menjadikan tahaluf sebagai satu strategi politik, maka kita mesti memastikan ia berjalan mengikut landasan syariat.
Tidak boleh kita berhujah semata-mata atas dasar “diluluskan oleh muktamar” kerana muktamar PAS sendiri adalah terikat dengan sumber hukum PAS iaitu al-Quran, sunnah, ijmak dan Qias.
Segala keputusan muktamar PAS yang bercanggah dengan sumber hukum atau pelaksanaannya menyanggahi sumber hukum, maka ia adalah terbatal dengan sendirinya.
Dalam konteks ini, setiap ahli PAS mesti sedar bahawa tahaluf berdiri di atas beberapa syarat antaranya:
  1. Membawa maslahat dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip
  2. Mengakui kepemimpinan Islam dan tidak menjejaskan prinsip perjuangan
  3. Tidak berwalak kepada sekutu pakatan dan tidak reda dengan pegangan mereka.
Pengalaman PAS mengadakan tahaluf sejak 1973 telah mewarnai pendirian kita dalam tahaluf bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.
PAS telah bersama BN pada 1973 hingga 1977, Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pada 1986, Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996), Barisan Alternatif (1998-2008), Pakatan Rakyat (2008-2015), dan kini kita memimpin Gagasan Sejahtera untuk menyatukan kekuatan pembangkang mengikut prinsip tahaluf yang digariskan oleh Islam.
PAS sentiasa terbuka untuk menerima semua kumpulan Islam supaya bersatu di bawah Gagasan Sejahtera berdasarkan prinsip Islam.
PAS juga boleh menerima mana-mana kumpulan bukan Islam yang bersedia untuk menerima kepemimpinan Islam, mengakui perjuangan Islam dan sanggup untuk bersama-sama mempertahankan Islam.
Tidak ada ruang kerjasama bagi kumpulan yang menentang dan mengkhianati Islam!

HASHIM JASIN

3 ulasan:

  1. UMNO pernah khianati PAS, adakah ini bermakna akan tiada tahaluf dgn umno?

    BalasPadam
  2. Cakap kut mana pun boleh....buat belum tentu...dulu masa tahaluf pakai kitab dan hujah mana...sekarang pakai hujah mana pulak....islam dari dulu sampai sekarang sama....tapi PAS sentiasa ubah tiang gol...untuk halalkan apa yg dibuat.....islamkah????

    BalasPadam
  3. Pas khianat org lain, islam sangat ka pas?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA