Selasa, 8 November 2016

Pas tegaskan sedia kerjasama dengan syarat Islam memimpin


Ustaz Hashim JasinUstaz Hashim JasinPas sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk parti bukan Islam yang mahu bekerjasama dalam pilihan raya akan datang dengan syarat mereka menerima Islam untuk memimpin kerjasama ini.
Mursyidul Am Pas Hashim Jasin berkata, Pas tidak akan mengadakan kerjasama politik yang tidak menguntungkan Islam.
"PAS telah menyediakan platform kerjasama yang dipimpin oleh Islam melalui blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang kini telah disertai oleh Ikatan dan Berjasa.
"Mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya akan datang, pintu kerjasama sentiasa terbuka dengan syarat mereka menerima kerjasama ini dipimpin oleh Islam.
"Tawaran kerjasama ini juga terbuka kepada parti-parti bukan Islam yang bersedia dipimpin oleh Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ini katanya ekoran pengalaman PAS bertahaluf siyasi semenjak 1986 yang memperlihatkan satu hasil yang tidak menguntungkan Islam, terutama selepas 2008.
Justeru tegasnya, PAS berpandangan bahawa tahaluf siyasi yang hendak dilakukan kali ini mestilah dipimpin oleh Islam.
Pas juga katanya mengakui bahawa strategi satu lawan satu adalah strategi terbaik dalam menewaskan BN.
"Pas berpandangan bahawa kerjasama politik adalah satu pendekatan yang sangat penting dalam menjatuhkan kezaliman Kerajaan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
"Strategi ‘satu lawan satu’ adalah strategi terbaik dalam menewaskan BN yang pengaruhnya semakin melemah hari ini. Kerana itu, PAS mempunyai sikap yang sangat terbuka dalam soal ini, dan sentiasa membuka pintu rundingan bagi mewujudkan kekuatan pembangkang," katanya.

Hashim juga menegaskan, pihak yang menentang Islam tidak layak bekerjasama dengan parti Islam itu kecuali jika mereka berubah sikap, termasuklah Umno.
"Bekas Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengingatkan bahawa jika Umno menerima Islam, kita bersedia membubarkan PAS.
"Inilah prinsip kerjasama yang dipimpin oleh Islam yang menjadikan penerimaan terhadap Islam sebagai syarat kerjasama.
"Pihak yang menentang Islam atau mengkhianati Islam tidak layak bekerjasama dengan PAS, kecuali mereka berubah sikap untuk menerima Islam sebagai pemimpin dalam kerjasama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA