Selasa, 1 November 2016

Pas tak terima jemputan konvensyen Pakatan Harapan - Nik Abduh

KUALA LUMPUR  - Pas hari ini mengesahkan belum menerima sebarang jemputan ke Konvensyen Pakatan Harapan yang akan diadakan pada 12 November depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Nik Abduh Nik Abdul Aziz "Tidak ada (jemputan untuk sertai Konvensyen Pakatan Harapan) sebab tidak ada hubungan (kerjasama). Kita tidak berhubung dengan Pakatan Harapan, hanya mempunyai hubungan dengan PKR sahaja.
"Saya tidak fikir Pakatan Harapan akan jemput Pas sertai kabinet bayangan," katanya.
Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP dan Amanah sudah memulakan rundingannya dengan parti pembangkang lain termasuk Pas dalam menjalinkan kerjasama melawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua sekretariat gabungan itu, Datuk Saifuddin Abdullah turut membayangkan beberapa pengumuman penting termasuk kabinet bayangan pada konvensyen yang akan diadakan pada 12 November.
Saifuddin berkata, rundingan turut diadakan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kita tidak fikir lagi (untuk tolak sekiranya ada jemputan). Tawaran itu tidak ada lagi sebab hubungan kita (hanya) dengan PKR. Jadi hubungan berkaitan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu kita tidak layan sebab sudah putus hubungan dengan mereka," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA