Jumaat, 4 November 2016

PAS tak sertai Bersih 5 bukan kerana dana Soros

Datuk Mustafa Ali berkata ketika PAS membuat keputusan tidak menyertai perhimpunan itu, mereka tidak tahu menahu mengenai geran diterima Bersih 2.0 daripada OSF.
Mustafar-AliPETALING JAYA: Keputusan PAS menarik diri daripada menyertai Bersih 5 tidak ada kena mengena dengan isu dakwaan Bersih 2.0 terima geran Open Society Foundation (OSF) yang dikaitkan dengan jutawan Amerika George Soros, kata Datuk Mustafa Ali.
Pengarah pilihan raya PAS itu berkata parti Islam itu tidak akan mengubah keputusan pemimpin tertinggi untuk tidak terbabit dalam himpunan yang dijadualkan berlangsung pada 19 November ini.
“PAS sudah buat keputusan, tidak akan bersama Bersih. Walau apa pun yang berlaku, pucuk pimpinan parti sudah buat keputusan untuk tidak sertai Bersih 5 kali ini.
“Pada waktu kita buat keputusan untuk tidak sertai Bersih 5, kita tidak tahu menahu mengenai perkara itu (geran dari OSF). Kita juga tidak tahu hubungan OSF dengan Bersih. Kita sudah buat keputusan sebelum isu ini timbul lagi,” katanya kepada FMT.
Terdahulu awal hari ini, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dipanggil ke ibu pejabat polis Bukit Aman tetapi memilih untuk tidak menjawab soalan yang diajukan.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Maria berkata Bersih pernah sekali menerima pembiayaan RM70,000 di antara 2010 dan 2011 daripada OSF.

Ketika diminta mengulas kata dua yang dibuat pemimpin DAP Nga Kor Ming supaya PAS sertai Bersih 5 jika tidak mahu dianggap bersekongkol dengan Umno, Mustafa berkata: “Dia nak cakap apa, cakaplah.”
“Dalam pilihan raya umum akan datang, PAS akan lawan Umno. Memang PAS akan lawan Umno, bukan kerana kita sertai Bersih 5 atau tidak,” katanya.
Semalam, Nga berkata PAS harus sertai Bersih 5 jika ingin terus bersama dalam pakatan pembangkang.
“Sebarang alasan untuk PAS tidak menyertai Bersih 5 boleh dianggap ingin bersekongkol dengan Umno dan melalui tindakan itu rakyat akan ketahui agenda sebenar parti itu,” kata ahli Parlimen Taiping itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA