Rabu, 23 November 2016

PAS tak boleh sesuka hati hukum ahli sertai Bersih 5, kata Daeng

Datuk Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok berkata, pihaknya tidak akan menjatuhkan sebarang hukuman sebelum mengadakan perbincangan lanjut menerusi mesyuarat Jawatankuasa Disiplin.
Datuk-Dr-Daeng-Sanusi-Daeng-Mariok
PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung pemimpin parti itu yang menyertai perhimpunan Bersih 5, Sabtu lalu.
Datuk Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok berkata, pihaknya tidak akan menjatuhkan sebarang hukuman sebelum mengadakan perbincangan lanjut menerusi mesyuarat jawatankuasa itu.
“Setakat ini, kita tidak ada menerima sebarang maklumat dari parti dan Jawatankuasa Disiplin menunggu laporan sebelum membuat sebarang keputusan atau tindakan.
“Lepas kita terima laporan baru kita bermesyuarat, berbincang apa langkah seterusnya, kita tidak terus menjatuhkan hukuman kerana itu tidak boleh, dia kena tengok dari sudut keadilan dan sebagainya,” katanya kepada FMT hari ini.
Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, jika ada aduan, PAS menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk mengambil tindakan terhadap beberapa wakil rakyat yang menghadiri perhimpunan Bersih 5, hujung minggu lalu.
Kenyataan Hadi itu bercanggah dengan Ahli Majlis Syura PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini menyatakan parti Islam itu tidak menyokong Bersih, tetapi membenarkan ahlinya menyertai perhimpunan berkenaan.

Antara pemimpin PAS yang dikesan menyertai perhimpunan Bersih 5 ialah Datuk Mahfuz Omar yang sedia berdepan tindakan disiplin.
“Saya tidak boleh menghalang sesiapa daripada merujuk saya kepada Jawatankuasa Tatatertib. Terpulang kepada parti untuk menilai jika ia satu kesalahan.
“Apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat. Saya menghadiri Bersih untuk rakyat Malaysia,” kata bekas naib presiden PAS itu, semalam.
Katanya, 6 pemimpin PAS lain turut menyertai perhimpunan itu, termasuk 3 wakil rakyat iaitu Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah; Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Adun Kubang Rotan, Nasir Mustafa.

1 ulasan:

  1. Pemimpin pas dah hilang sengat bila makin ramai ahli yg prominen berani melanggar arahan presiden.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA