Ahad, 13 November 2016

PAS sokong Najib: Dr M cuma berterus terang, kata PH

Kengganan parti Islam bekerjasama dengan PH menunjukkan ada kemungkinan suatu bentuk kerjasama antara PAS dan Umno

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad cuma berterus terang apabila mengatakan PAS dilihat menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Setiausaha Pakatan Harapan.
Datuk Saifuddin Abdullah menambah bekas perdana menteri berusia 91 tahun itu cuma menyatakan sesuatu yang tidak berani dikatakan secara terbuka oleh orang lain.
“Ada dalam kalangan kita yang tak berani nak kata macam itu. Tetapi beliau cuma berterus terang.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu teliti perkara itu (hubungan PAS-Umno),” katanya ketika ditemui FMT di Konvensyen PH hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau besetuju dengan pandangan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, Saifuddin berkata keengganan PAS bekerjasama dengan PH menunjukkan ada kemungkinan suatu bentuk kerjasama antara parti Islam dan Umno.
“Kelakuan PAS seolah seperti sudah berhijrah ke pihak sana. Walaupun mereka mengaku parti pembangkang, tetapi mereka tak mahu sertai Bersih 5, dan tidak menolak belanjawan baru-baru ini.”
Saifuddin menambah PH masih berharap PAS menemui pangkal jalan dan menyertai mereka menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kalau PAS tak mahu, biarlah mereka,” katanya.
Dr Mahathir sebelum itu berkat parti yang mensabotaj usaha PH untuk memastikan pertandingan 1 lawan 1 dalam pilihan raya akan datang sebenarnya penyokong Najib dan pentadbiran beliau.
Beliau turut membidas PAS dan berpendapat ada kemungkinan parti Islam terima “dedak”, ungkapan yang sering digunakan untuk rasuah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA