Ahad, 20 November 2016

PAS, PKR, DAP kutuk penahanan Maria di bawah Sosma

Charles Santiago dan Aliran turut mengecam penangkapan Maria sebagai penyalahgunaan kuasa dan berniat jahat kerana beliau bukan ancaman keselamatan mahupun pengganas.
Maria-Chin_law_6001_1
PETALING JAYA: Parti pembangkang dan sebuah persatuan mengkritik penahanan Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) serta mahu pengerusi Bersih 2.0 dan mereka yang ditahan berhubung perhimpunan haram semalam, dibebaskan segera.
Dalam kenyataan berasingan, PAS, PKR, DAP, Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran) dan wakil rakyat mendakwa kerajaan menyalahgunakan Sosma.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penahanan Maria adalah tidak betul dan keterlaluan memandangkan kerajaan pernah memberi jaminan tidak akan menyalahgunakan Sosma dan undang-undang bagi tujuan politik serta perkara tiada kaitan dengan keselamatan dalam negeri.
“PAS konsisten menentang sebarang bentuk kezaliman dan salah guna kuasa terhadap sesiapa pun. Oleh itu, PAS menggesa pihak berkuasa berlaku adil kepada Maria dan membebaskan beliau segera daripada penahanan di bawah Sosma.
“Kerajaan tidak harus mengulangi kesilapan ketika menggunakan Sosma terhadap (Datuk Seri) Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang kerana melaporkan isu 1MDB,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ke Facebooknya.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan hari ini berkata, Sosma, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Majlis Keselamatan Negara yang diluluskan secara pantas tahun ini bukan untuk membendung pengganas dan aktiviti keganasan, tetapi bagi menakutkan rakyat menyuarakan salah guna kuasa serta dana oleh kerajaan.
“Tangkapan sebelum, semasa dan selepas perhimpunan merupakan tindakan yang bukan sahaja bertentangan dengan amalan demokrasi, bahkan juga menampakkan sifat kerajaan yang mengamalkan kediktatoran.
“Saya seru kerajaan membebaskan semua tahanan tanpa syarat kerana perhimpunan aman semalam terbukti berlangsung dengan jayanya.
“Hentikan perbuatan menyalahgunakan akta untuk menangkap aktivis dan pemimpin pembangkang hanya kerana perbezaan pendapat,” katanya yang mempersoalkan jika perdana menteri akan mengumumkan lokasi demonstrasi sebagai kawasan darurat dan mengguna pakai Akta Majlis Keselamatan Negara atas alasan “keselamatan” pada masa depan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menyifatkan penahanan 17 individu berhubung perhimpunan Bersih tidak wajar dan “jelas bermotifkan politik terhadap pembangkang” untuk mengalih perhatian daripada kegagalan BN menghalang perhimpunan itu diadakan secara aman.
Ketua menteri Pulau Pinang itu turut mempersoalkan kenapa hanya beberapa penyokong Baju Merah ditahan, walaupun gerakan itu mengugut akan mencetuskan keganasan dan pertumpahan darah.
Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago berkata, penahanan Maria di bawah Sosma dilakukan dengan niat jahat kerana beliau bukan ancaman keselamatan mahupun pengganas.
Aliran pula menyifatkan penahanan Maria sebagai “ngeri” dan mempersoalkan penggunaan undang-undang itu, walaupun wanita terbabit konsisten dalam menuntut pembaharuan pilihan raya dan akauntabiliti kerajaan.
“Maria tidak pernah menyokong atau membenarkan penggunaan keganasan terhadap kerajaan atau mana-mana individu, serta tidak menyokong sebarang bentuk aktiviti haram untuk menjatuhkan kerajaan. Rakyat Malaysia patut berbangga dengan wanita luar biasa ini,” kata pergerakan reformasi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA