Isnin, 14 November 2016

PAS jangan berperang sampai kiamat, kata Amanah

Anuar Tahir berkata Amanah sekali lagi mempelawa PAS bergabung, terutama apabila PPBM juga sudah bergabung dalam PH, meskipun dulu pemimpin mereka bermusuh dengan pembangkang.
Anuar_Tahir
PETALING JAYA: Amanah sekali lagi menyeru PAS untuk melupakan perbalahan antara mereka dan bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir berkata perkara itu tidak mustahil kerana PH kini menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kebanyakan dalam PPBM iaitu, Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir musuh kita (pembangkang) dulu. Tetapi demi kepentingan rakyat kita berfikir secara rasional dan dapat melupakan permusuhan. Kini kita dapat duduk bersama kembali dan bersatu.
“Takkan sampai kiamat kita nak perang. Takkan orang Islam kuat tarbiah tidak boleh lakukan hal sama, macam apa berlaku dengan Dr Mahathir,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Amanah terbuka untuk menerima PAS dalam PH, atau tidak.
Dr Mahathir sebelum ini berkata hanya satu cara saja untuk menewaskan BN iaitu dengan bersatu – pakatan pembangkang perlu berdaftar sebagai satu parti, guna manifesto dan logo yang sama.
Pengerusi PPBM itu berkata pakatan pembangkang perlu bersatu dan meletakkan seorang calon dalam pilihan raya tanpa mengira daripada DAP, PKR, Amanah atau PPBM.
Bagaimanapun pada konvensyen PH, tiada seorang pun pemimpin PAS menyertainya atas alasan program lain.
Anuar berkata jika PAS menyertai konvensyen PH semestinya suasana akan lebih gamat dalam penyatuan parti pembangkang untuk menumbangkan BN.
“Saya sentiasa doakan semua pihak dalam kalangan parti pembangkang akan terbuka hati untuk lihat kepentingan rakyat itu lebih penting daripada peribadi.
“Ini demi melakukan perubahan besar setelah berpuluh tahun sejak merdeka lagi. Mana-mana pihak yang tidak mahu terlibat malah secara langsung dan tidak langsung dan menyokong BN, saya percaya ia tidak diampunkan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Anuar berkata kenyataan berbeza pimpinan PAS dilihat sebagai antara penghalang untuk mereka bersatu dalam PH.
Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad sebelum ini berkata mengenai PAS dizalimi sewaktu berada dalam gabungan BN lebih teruk berbanding tekanan daripada DAP semasa dalam Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya di dalam PAS sebelum ini, sekiranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kata putus untuk bergabung dengan PH, ia tidak mustahil.
“Walaupun pimpinan PAS dilihat mempunyai pandangan berbeza, namun kata pemutus dalam parti itu adalah daripada presiden,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA