Khamis, 3 November 2016

PAS enggan runding dengan parti kacau 'rumah tangga'

Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata parti itu hanya akan mengadakan rundingan dengan pihak yang tidak ada rekod buruk dengan mereka dalam sejarah Pakatan Rakyat.
Bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini Nik Abduh juga menjelaskan kenyataan dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam tidak menyebut DAP dalam persediaan mereka menerima formula satu lawan satu menghadapi BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sebaliknya kata anak bekas menteri besar Kelantan itu Abdul Hadi membuat kenyataan merujuk kepada pihak yang tidak pernah mengganggu "rumah tangga" PAS.
“Seperti yang Abdul Hadi kata semalam, perbincangan PAS adalah dengan parti yang tak kacau rumah tangga PAS.
“Apa yang media sebut akan ada kerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) itu adalah kenyataan media, bukan (daripada) Abdul Hadi," katanya.
Menurut Nik Abduh beliau sendiri melihat klip video jawapan diberi Abdul Hadi berkenaan dan ia "pendek saja" selain menyatakan pihak berkenaan tidak mengacau "rumah tangga" PAS.
“Kenyataan itu merujuk kepada parti-parti yang tak kacau rumah tangga PAS. Jadi kita tahu siapa yang kacau (rumah tangga PAS) dahulu,” katanya.
Tak cadang dedah strategi
Ahli parlimen Pasir Mas itu turut berkata kenyataan Abdul Hadi bahawa parti itu bersetuju dengan konsep satu lawan satu seperti yang diharapkan pembangkang lain untuk pilihan raya depan tidak merujuk kepada HARAPAN.
“Tapi beliau (Abdul Hadi) tak rujuk kepada Pakatan Harapan. Beliau buat kenyataan umum bahawa PAS memang setuju kalau diadakan satu lawan satu, dua penjuru dan asasnya kita setuju.
“Namun perbincangan itu tidak merujuk kepada perbincangan Pakatan Harapan. Pakatan Harapan itu akhbar saja tambah.
“Parti-parti lain yang hendak berunding itu, kita akan lihat secara spesifik - parti mana - dulu,” katanya.

Nik Abduh ketika ditanya mengenai kesudian PAS berunding dengan DAP sekiranya terdapat tiga penjuru untuk memastikan satu lawan satu berkata: “Isu DAP kita dah jawab dulu, kita tak akan berunding dengan DAP."
Mengenai keperluan parti itu merancang strategi menghadapi lawan mereka pada pilihan raya umum Nik Abduh berkata beliau tidak bercadang untuk mendedahkannya.
Malah beliau sendiri tidak tahu bagaimanakah startegi itu.
"Strategi menghadapi PRU adalah strategi, tak kan saya nak buka? Saya pun tak tahu strategi itu," katanya.
Sementara itu pada sidang media berasingan, veteran DAP Lim Kit Siang berkata parti itu tetap mahu pembangkang menggunakan formula satu lawan satu ketika PRU ke-14 nanti.
“Kita terbuka untuk adakan perbincangan, pendirian kita jelas bahawa kita mahu satu lawan satu. Ia adalah peluang untuk jatuhkan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA