Isnin, 14 November 2016

PAS dan isu kafir mengkafir

Beberapa hari lepas, ada pertemuan antara beberapa pimpinan PAS dengan beberapa ilmuan yang disebut sebagai kumpulan pencinta hadis nabi SAW atau dikenali sebagai golongan salafi.
Pertemuan tersebut dibuat bagi mendapat pencerahan berkaitan perbahasan ilmiah berkaitan usul pensendirian pindaan Akta 355 yang sedang hangat dalam cuaca politik negara hari ini dan bertujuan memperkasakan peranan mahkamah syariah dalam negara.
Hasil awal yang disebarkan sebaik selesai pertemuan itu ialah PAS akhirnya mengakui bahawa menolak untuk menyokong usul pindaan akta itu tidaklah menyebabkan seseorang itu menjadi kafir. Maka tiada masalah untuk sesiapa pun menolak usul berkenaan kerana ia bukan bermaksud menolak hukum syariah.
Beberapa penyokong PAS berasa tersinggung dengan kenyataan itu yang dianggap tidak menepati isi atau tujuan sebenar pertemuan. Ia seolah-olah menggambarkan PAS suka menghukum dan membiarkan ahlinya mengkafirkan sesiapa sahaja yang menentang usaha-usaha agama yang dibawa PAS.
Maka ada pula jawaban balas daripada ahli PAS - yang juga seorang pimpinan Pemuda PAS - cuba menggambarkan bahawa pimpinan utama parti dalam pertemuan itu berjaya menjawab beberapa isu berkaitan secara jelas dan meyakinkan sehingga ada kalangan pihak 'sebelah sana' diam "terkesima" dengan hujah-hujah yang disampaikan.
Jawapan balas daripada ahli PAS yang turut hadir dalam pertemuan itu secara tidak langsungnya menolak dakwaan awal bahawa pertemuan itu berakhir dengan pimpinan PAS akur dengan kerenah ahli PAS yang suka menghukum dan mengkafirkan seseorang.
Ia tidak berakhir di situ. Pihak yang saya sebut sebagai mewakili kumpulan salafi pula menjadi panas. Mereka marah dengan perkataan "terkesima" yang bagi mereka membawa maksud "hilang hujah" dan kalah. Mereka membalas balik sama ada melalui tulisan atau lisan yang disebar melalui video. Maka berlakulah balas-membalas dan cabar-mencabar.
Kerana PAS 'orang agama'
Setakat yang saya tahu, tiada pimpinan utama PAS yang memberi komentar. Mungkin saya adalah orang pertama yang mengulasnya melalui tulisan ini.

Saya tidak tahu sama ada ianya baik atau sebaliknya walaupun sudah tentu saya menghasratkan yang terbaik daripada tulisan ini.
Fokus saya ialah isu kafir mengkafir dalam polemik umat untuk kembali kepada agama Islam.
Sejak awal sejarah Islam, isu kafir mengkafir ini adalah isu siapa lebih Islam daripada siapa. Hampir tiada orang yang menolak agama mengkafirkan orang yang mahukan agama. Ertinya, isu ini adalah isu "orang agama".
Justeru PAS turut terlibat dalam isu ini. PAS sering kali terjebak bagi menyelesaikan isu yang paling kritikal dalam kemelut umat sepanjang zaman ini. Ini adalah kerana PAS adalah "orang agama". Adakah PAS sahaja yang terjebak? Jawabannya tidak.
Di negara kita, juga di negara-negara umat Islam, isu kafir mengkafir adalah berpanjangan dan melata rewa. Ada kumpulan khalaf yang mengkafirkan kumpulan salafi. Begitu juga sebaliknya, ada kumpulan salafi yang mengkafirkan kumpulan khalaf.
Ada aliran madrasah yang mengkafirkan aliran madrasah lain. Ada aliran politik yang mengkafirkan aliran politik lain. Bahkan sesama kumpulan khalaf atau sesama kumpulan salafi, mazhab sesama mazhab dan yang saling sealiran pun, kafir mengkafir berlaku.
Ertinya, ketika ada yang menuduh PAS dengan budaya kafir mengkafir, mereka juga tidak mampu menafikan bahawa aliran mereka juga berhadapan isu yang sama. Menuduh lawan sebagai kafir dan mereka lebih Islam daripada lawan mereka.
Padam budaya buruk
Kafir mengkafir adalah jenayah paling buruk di dalam agama. Ia adalah tindakan memutuskan apa yang disambung oleh Allah. Ia memutuskan persaudaraan paling kukuh di antara manusia. Ia adalah tindakan menghumbankan ahli syurga pilihan Allah ke dalam lubuk neraka menggunakan kuasa yang tidak pernah Allah izinkan.
Oleh kerana ia adalah buruk sekali, maka kesannya adalah buruk sekali juga. Untuk akhirat, kekafiran itu akan kembali kepada si penuduh. Dia akan mendapat murka paling besar daripada Allah.
Untuk dunia, kesannya juga dahsyat sekali. Ia bukan setakat memecahbelahkan umat kepada puak-puak bersengketa, bahkan ia bagai bom jangka yang bila-bila masa sahaja boleh meledakkan api perang dan pertumpahan darah.
Anda perhatikan, oleh kerana dua kumpulan besar Islam iaitu Sunni dan Syiah sering dipanaskan dengan isu kafir mengkafir, maka pertumpahan darah sehingga kini masih tidak mampu dielakkan. Ia perang ratusan tahun yang belum berakhir. Jika ada yang berusaha mengelakkan pertumpahan darah dan mengukuhkan hubungan, akan ada kumpulan daripada kedua-dua pihak yang lebih besar akan memainkan isu kafir mengkafir, lalu terpinggirlah usaha peredaan itu.
Sudah pasti bagi yang menginsafi dan menyedari bahaya kafir mengkafir, mereka akan berusaha memadamkan budaya buruk ini. Walau apa perselisihan sekalipun, selama mana seseorang itu adalah ahli syahadatain dan ahli kiblat yang satu serta tidak melakukan tindakan syirik nyata yang tidak boleh ditakwilkan lagi, maka dia adalah muslim dan diikat dengan persaudaraan Islam yang kukuh melampaui persaudaraan darah dan tanah air.
Kita saling menyedari keperluan untuk mempromosi persaudaraan Islam, bahkan persaudaraan sesama manusia juga. Dunia hari ini semakin meruntuh dengan tamadun kebendaan dan kekufuran yang semakin merudum dan di akhir hayatnya.
Tiada ganti untuk kesejahteraan sejagat selain ilmu dan pengajaran Islam yang benar. Tetapi selama mana umat Islam terus bersengketa, selama itulah capaian menuju kesatuan dan kekuatan agak jauh untuk dikecapi.
Tiada yang tidak sedih jika kumpulan Islam yang diwakilinya dicalit dengan isu kafir mengkafir. PAS lama dituduh menghukum umat. Ulama PAS bangkit menolak dakwaan itu. PAS menerima bahawa mereka hanya menerangkan hukum ketika pemikiran sekularisasi melanda negara dan merosakkan akidah.
Kesannya amat baik dan nyata. Tiada lagi penghinaan terhadap agama Allah dan syariahnya. Tetapi musuh PAS terus saja membesarkan isu kafir mengkafir sebagai budaya PAS. Dengannya mereka mengharapkan PAS ditolak sebagai parti yang memecah belahkan umat Islam.
Sekarang perhatikan, kita berhadapan dua isu utama. Pertama, isu kumpulan yang memainkan isu kafir mengkafir dengan mengkafirkan lawan mereka. Kedua, isu kumpulan (A) yang menuduh kumpulan lain (B) mengkafirkan kumpulan mereka (A).
Kumpulan pertama adalah buruk kerana mereka mengkafirkan orang. Kumpulan kedua pula buruk kerana mereka mendakwa kumpulan lain megkafirkan mereka. Kumpulan yang dituduh akan membalas balik dengan yang mungkin lebih tajam.
Saya menulis bukan bertujuan membersihkan PAS, bahkan saya bertujuan membersihkan semua kumpulan daripada tuduhan kafir mengkafir. Ia sama ada menuduh atau mendakwa dituduh. Setiap jemaah akan tetap ada pentaksub. Pentaksub biasanya jahil.
Jika mereka berilmu, maka mereka sombong. Kedua-duanya adalah penyakit yang ada di dalam mana-mana jemaah di mana-mana dan pada masa mana pun.
Perbezaan hanyalah pada tahapnya. Jemaah yang berilmu dan bertakwa tinggi akan lebih selamat dan benar berbanding yang di belakangnya.
Menuduh kafir adalah terjun ke lubang digali sendiri. Menuduh orang lain menuduh kita kafir adalah terjun ke lubang galian musuh. Sebagaimana musuh Islam seronok melihat kita saling kafir mengkafir sesama sendiri, begitulah juga mereka akan berusaha memanaskan dan melaga-lagakan agar isu kafir mengkafir tidak padam dan tamat.
Saya mencadangkan agar kita sebagai muslim yang mencintai ilmu, takwa, kesatuan dan kebangkitan Islam agar menginsafi bahawa mengheret dan membesarkan isu takfir atau kafir mengkafir ini adalah kerja dan perangkap musuh Islam.
Sebagaimana saya benci PAS mengkafirkan sesama muslim, saya juga benci PAS dituduh suka mengkafirkan sesama muslim. Sebagaimana saya benci begitu, saya juga cukup sedar bahawa jemaah lain juga memiliki perasaan yang sama.
Mereka benci mengkafirkan orang lain dan mereka juga benci dituduh suka mengkafirkan orang lain. Saya yakin bahawa jemaah saya dan jemaah lain berusaha memadamkan budaya takfir yang memecahbelahkan umat Islam yang paling dimurkai Allah ini.
Siapakah yang terbaik di antara kita? Ya, mari kita bersetuju bahawa yang terbaik adalah yang saling membina diri masing-masing tanpa perlu jatuh di lubang galian sendiri atau di lubang galian musuh dengan isu kafir mengkafir yang memutuskan ikatan akidah dan persaudaraan Islam.

NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA