Selasa, 1 November 2016

Parti komponen BN pandai kritik, tetapi tak bantah Bersih 5, kata Jamal

Jamal berkata, parti komponen BN tidak sepatutnya hanya mengkritik dan memberi komen yang akan menimbulkan ketegangan dalam parti itu.
jamal-bn-bersih
PETALING JAYA: Parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan jangan hanya pandai mengkritik gerakan Baju Merah, tetapi tidak menyumbang idea untuk menentang perhimpunan Bersih 5, kata Datuk Jamal Yunos.
Ketua gerakan Baju Merah itu berkata, MIC, MCA dan Gerakan sepatutnya menyambut baik gesaan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membenarkan ahlinya menyertai perhimpunan balas Baju Merah bagi menentang himpunan Bersih 5.
“Sepatutnya, mereka (parti komponen BN) kalau tak faham atau mungkin buat tak faham, panggil kami bincang, sebab sebelum ini saya cuba memberi penerangan kepada mereka, tetapi mereka sengaja tak mahu menyambut salam saya untuk menerangkan tujuan gerakan (Baju) Merah.
“Kalau mereka nak bincang kita terbuka, jangan pandai membuat kritikan tetapi langsung tidak memberi pandangan, setakat mencemuh dan beri komen yang akan menimbulkan ketegangan dalam suasana baik antara pakatan BN,” katanya kepada FMT hari ini.
Semalam, MIC, MCA dan Gerakan tidak bersetuju dengan tindakan Khairy membenarkan ahli Pemuda Umno menyertai perhimpunan balas gerakan Baju Merah terhadap Bersih 5 kerana tindakan itu boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu turut mengucapkan terima kasih kepada Khairy yang memahami keadaan sebenar.
“Terima kasih kepada Khairy Jamaluddin kerana memahami apa yang sedang berlaku, perkara yang sedang berlaku, jelajah Bersih 5 menabur fitnah menghasut rakyat turun demo pada 19 November.
“Sepatutnya, rakan komponen BN turut membantah himpunan kuning, kerana maksud Khairy tidak ada kuning, tidak ada merah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Mohamad Rafi menyokong Khairy dan menggesa rakyat menolak Bersih 2.0 kerana ada bukti pemantau pilihan raya itu mendapat tajaan RM3.2 bilion (AS$800 juta) daripada Open Society Foundations (OSF) milik jutawan George Soros, sejak 2010.
“Terbaharu, kita tahu ada banyak dana dari luar, terutamanya Wikileaks yang membocorkan penglibatan George Soros untuk gerakan Bersih ingin jatuhkan perdana menteri. Kita sebagai parti memerintah kena pertahan daripada sudut politik, sama juga Bersih dibelakangi pembangkang,” katanya kepada FMT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA