Khamis, 17 November 2016

Parlimen sepatutnya tempat selamat bersuara, kata peguam

Wakil rakyat Malaysia masih mempunyai imuniti dalam menyuarakan pelbagai isu seperti 1MDB dan korupsi, walaupun pindaan undang-undang menghadkan kekebalan selepas 13 Mei.
eric-paulsen-parliament
KUALA LUMPUR: Beberapa pengamal undang-undang berkata wakil rakyat perlu diberikan imuniti Parlimen supaya mereka tidak perlu takut kemungkinan disoal siasat polis ketika membangkitkan masalah rakyat dalam Dewan Rakyat.
Mereka berpendapat Parlimen sepatutnya sebuah tempat selamat di dalam mana-mana demokrasi untuk wakil rakyat bersuara secara bebas.
Menurut Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen, imuniti untuk wakil rakyat mula dikurangkan selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei, 1969.
“Parlimen sepatutnya tempat selamat untuk wakil rakyat bersuara secara bebas tanpa perlu rasa takut untuk disiasat apa-apa kesalahan. Tak kisah Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan dan lain-lain,” kata Paulsen kepada FMT.
Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin baru-baru ini berkata wakil rakyat sepatutnya diberikan imuniti Parlimen untuk memudahkan mereka membangkitkan pelbagai masalah rakyat dalam Dewan Rakyat.
Pemimpin Amanah itu berkata Dewan Rakyat perlu akur dengan Artikel 63(2) dan 63(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hak wakil rakyat patut dilindungi.
Ia susulan tindakan polis menyoal siasat 3 wakil rakyat, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Tambun) dan Datuk Seri Shafee Apdal (Semporna), ketika berbahas mengenai 1MDB.
Mereka dituduh membocorkan maklumat berkenaan syarikat bermasalah itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Speaker perlu bela wakil rakyat.

Eric berkata pada dasarnya ahli Parlimen mempunyai imuniti tetapi Speakar, Tan Sri Pandikar Amin Mulia seolah-olah menggalakkan penyiasatan oleh pihak polis.
“Sepatutnya dia (Pandikar) berkata apa-apa yang ahli Parlimen sebut di Parlimen tidak boleh disiasat dan dia sepatutnya bela mereka. Tetapi dia bertindak sebaliknya. Dia menggalakkan pihak polis menyiasat.
“Pihak polis pun harus tahu apa yang dikatakan oleh mereka adalah bersifat ada imuniti,” katanya.
Peguam Syahredzan Johan bersetuju dengan Hanipa.
“Ahli Parlimen memang mempunyai imuniti untuk membangkitkan perkara dalam Dewan Rakyat. Walaupun masih ada hal-hal di mana ia tidak dilindungi oleh keistimewaan Parlimen, contohnya berkenaan dengan Akta Hasutan.
“Untuk memberikan keistimewaan mutlak, ia perlu pindaan Parlimen. Saya rasa wajar juga kita kaji semula sama ada pengecualian pada keistimewaan Parlimen ini masih perlu, atau kita perlu berikan keistimewaan sepenuhnya,” katanya.
Pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom pula menyatakan ahli Parlimen mempunyai imuniti di dalam perlembagaan tetapi ianya terhad.
“Mereka boleh kata apa sahaja kecuali jikalau apa yang dinyatakan itu menentang undang-undang yang telah pun digubal untuk mengawal ekspresi tentang isu-isu berikut: kerakyatan, bahasa kebangsaan dan kedudukan orang Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Jika ada undang-undang yang digubal untuk mengawal perbincangan tentang isu ini dan ahli Parlimen melanggar undang-undang itu, mereka boleh didakwa.
“Tapi undang-undang itu sahaja. Jadi setakat fitnah, mereka tak boleh didakwa. Setakat Akta Rahsia Rasmi tak disebut pun dalam perlembagaan, setakat 1MDB tak sebut dalam perlembagaan, setakat korupsi tak disebut, itu sahaja,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA